Sejak akhir-akhir ini terdapat pelbagai komen terutamanya mereka yang menentang desakan Pemuda PAS Selangor membantah penyertaan artis wanita dalam persembahan yang akan berlangsung sempena perlawanan bolasepak Piala Sultan Selangor.
Saya berpendapat, adalah menjadi hak bagi ahli PAS di negeri tersebut (dalam konteks ini disebut Pemuda PAS Selangor)untuk membantah sesuatu yang jelas bertentangan dengan dasar dan perjuangan mereka. Ini adalah kerana PAS juga mempunyai 'share' (walau dengan peratusan paling kecil) dalam pentadbiran negeri ini.
Jika pimpinan negeri atau majoriti rakyat bahkan Sultan sendiri tidak bersetuju dengan desakan ini, itu terserahlah. Sekurang-kurangnya ahli PAS perlu meluahkan atau bertindak mengikut kemampuan bagi melepaskan bebanan yang dikhuatiri menjadi 'isu' di hadapan Ilahi di akhirat kelak.
Pada saya, mereka yang menentang bantahan itu tentunya mempunyai alasan mereka tersendiri. Namun begitu, biarlah alasan yang diberikan itu tidak sampai kepada tahap menghina, memperlekeh-lekehkan agama serta menganggap agama itu menghalang kemajuan bahkan rezeki mereka.
Akhir sekali, diharapkan para pemimpin PAS termasuklah pendakwah, mufti-mufti secara ikhlas dan berterus terang menggariskan batasan-batasan hiburan (terutamanya mereka yang mencari rezeki sebagai penghibur) yang jelas bagi mengelak berlakunya lampauan batasan agama (dosa dan pahala).
Di samping itu juga, mereka perlulah mengutarakan alternatif lain bagi mereka yang hanya bergantung kepada dunia artis semata-mata.
No comments:
Post a Comment