Tuesday, July 29, 2008
MULANYA saya tidak bercadang untuk memberi reaksi kepada surat permohonan maaf (apologi) Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar. Tetapi selepas membacanya kali kedua teringin pula untuk memberi sedikit komen untuk pengamatan bersama. Mudahan-mudahan ia memberi maaf bersama!
Bagi saya surat permohonan maaf itu tidak perlu dan bukan sesutau yang wajar dilakukan. Ia tidak mendesak untuk Mahfuz berbuat demikian. Kerana itu kepada saya surat seperti itu dilakukan oleh orang yang tidak ada kerja saja.
Sekali imbas surat itu menggambarkan keikhlasan Mahfuz seorang pemimpin Islam yang memperjuangkan Islam menerusi Pas. Beliau tulus dan bermaksud baik. Di samping itu juga ia ingin menjelaskan rasa ketanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin hirerki Islam.
Baguslah sekurang-kurang timbul rasa itu dalam dhamir Mahfuz.
Cuma apa yang menjadi sedikit kemusykilan apakah perlu beliau membuat permohonan maaf terbuka seperti itu. Apakah teruk sangat kecederaan maruah yang dialaminya ekoran beliau diperangkap dalam suasana itu - membuat penafian. Apakah sampai beliau terganggu, tidak boleh berfikir dan dipertikaikan wibawanya oleh seluruh ahli Pas?
Iya kalau salah perlu memohon maaf, tidak kira sesiapa juga. Mereka yang tidak mengaku kesalahan adalah sangat buruk moralnya dan tidak layak menjadi pemimpin!
Namun sebagai pemimpin seseorang itu perlu bijak, berpandangan jauh dan meletakkan harakahnya dalam keadaan terbaik dan mengatasi keperluan dirinya. Seseorang perlu mengorbankan diri untuk mempertahankan jemaah dan jangan meminta jemaah berkorban untuk diri kita.
Cara Mahfuz itu seakan ingin menyalahkan (merendah) pihak lain atas kerja yang beliau lakukan. Ini kerana menurutnya membuat penafian itu – tiada kerjasama Pas dengan Umno kerana beliau diarah berbuat demikian dan tidak pula mendapat maklumat tepat.
Dalam masa sama beliau persoal kepada orang individu yang tidak jujur dalam memberi maklumat sehingga beliau boleh membuat penafian itu.
Penjelasan ini secara tidak langsung Mahfuz mendedahkan kerendahan mutu kerja dan keupayaan beliau berfikir sebagai Ketua Penerangan. Sepatutnya sebelum membuat kenyataan penting, beliau semak dan selidiki dahulu kesahihan atau kewajarannya. Perlu disebut dalam perjuangan (strategi) adakalanya perlu dibuat walaupun ia tidak sahih!
Apakah kerana sudah membuat kenyataan sudah menjadi habit, menyebabkan Mahfuz terperangkjap dalam keadaan ini?
Desakan beliau agar individu yang tidak memberi maklumat tepat berhubung perkara itu agar tampil memberi penjelasan juga dikira tidak patut. Di sini sudah tidak ada semangat berpasukan dan ada unsur-unsur ingin melepaskan leher. Selaku Ketua Penerangan yang telah terlanjur, beliau harus memikulnya sendiri tanpa mengheret orang lain sama. Janganlah menampakkan sangat ketidakcerdikan kita!
Beliau nampak bertanggungjawab, ikhlas tetapi dalam masa sampai ingin melepaskan tanggungjawab dan cuba bermian politik secara halus tetapi sebenarnya nampak kasar. Apakah ini bukan hipokrit?
Demikian juga seruannya kepada pemimpin Pas supaya jujur. Seruan itu nampak bagus, tetapi apakah dengan kedudukan kita dalam hirerki parti wajar membuat seruan begitu. Cara Mahfuz lakukan itu seolah ingin mendedahkan bahawa ada pemimpin Pas yang tidak jujur dalam konteks ini. Apakah tindakan ini bijaksana?
Akhirnya catatan ini saya perbuatkan kerana terpanggil dengan seruan Mahfuz yang berbunyi; “Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini. “
Kepada Mahfuz untuk masa akan datang beliau perlu menilai sesuatu yang hendak diucapkan sebelum melakukannya. Banyak sedikit semakan dan fikir kesan terhadap apa yang dilakukan. Jangan kerana habit dan syok dengan membuat kenyataan sesutau yang tidak sahih dan memberi impak kepada parti pun terlakukan juga. Beliau sebagai pemimpin jangan mengikut telunjuk orang sebaliknya gunakan telunjung kita untuk mengarah orang!
No comments:
Post a Comment