Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah: Minda Roslan SMS


Roslan SMS


Berbaik sangka dan berlapang dada

Baru sahaja Presiden PAS mengakui yang PAS memang ada membuat pertemuan dengan Umno bagi merintis jalan membincangkan hal Islam dan Melayu, terus-terusan pelbagai rekasi diterima samada dari kalangan pimpinan PAS, ahli-ahli, mereka yang mengundi PAS, orang awam, termasuklah mereka yang mengakui dirinya PAS.Ada yang memberikan rekasi positif ada juga yang tidak bersetuju dan ada yang mahukan penjelasan lanjut. Apa pun ternyata pengakuan berani Tuan Guru Presiden itu telah mendapat tumpuan seluruh rakyat termasuklah pimpinan gerakan Islam sedunia.

Tuan Guru Presiden baru membuat kenyataan ringkas enam perenggan, tetapi sudah ada yang mahu bersilat, mahu menerajang, mahu menjatuhkan hukum malah ada yang tergamak mencabar beliau agar keluar PAS! Itulah politik, kalau semuanya sedap dan mudah, bukan politik namanya.

Saya masih ingat pada akhir 70an dan awal 80an kehadiran beliaulah yang telah menyuntik semangat para pejuang PAS untuk menjulang parti itu kembali bertapak dihati umat Islam. Berpayungkan semangat “Kepimpinan Ulamak” gelombang yang dipelopori beliau dan rakan-rakan pimpinan muda ketika itulah yang telah menarik minat ramai untuk kembali kepada PAS setelah saham PAS jatuh dipenghujung era Asri Muda.

Ketika saya masih menuntut di IPTA majalah yang berpusat di Hong Kong “Asiaweek” telah menobatkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai “the greatest orator in South East Asia” (pemidato tersohor di Asia Tenggara). Beliau bukan sekadar menjelajah Malaysia malah ke setiap pelusuk dunia, berforum, berdebat mempertahankan Islam disaat ramai kita sudah berputus harap pada kebangkitan semula PAS. Mungkin ada diantara kita yang panas dan bergelojak darah mudanya hari ini masih belum pandai berjalan lagi pun ketika itu.

Kaset-kaset dan rakaman Tuan Guru lah (termasuk kaset pengajiannya dari Rusila dan Masjid Mujahedeen, Damansara Utama) yang telah menambat hati anak-anak muda untuk mendekati gerakan Islam malah ramai pimpinan yang ada pada hari ini samada secara langsung atau tidak telah terpengaruh dengan PAS hasil didikan dan sumbangan beliau ketika itu. Disaat itu PAS terpaksa bersaing dengan gerakan dan badan Islam lain di Malaysia, ABIM, Arqam, Tabligh dan lain-lain sehingga hampir ia tenggelam tetapi Tuan Guru dan rakan-rakan ketika itulah benteng kekuatan PAS.

PRU 1982, melalui kepimpinan beliau PAS telah menembusi kubu kuat BN di Terengganu sehingga akhirnya melontarkan beliau dan 4 orang pimpinan lain masuk ke DUN Terengganu setelah sekian lama ia gersang dari suara PAS (Tuan Guru terus menjadi YB samada ADUN atau ahli Parlimen atau kedua-duanya sejak itu sehingga kini). Anjurlah apa pun ceramah ketika itu tetapi jika dibariskan bersekali dengan kehadiran Tuan Guru pasti melaut bilangan yang hadir.

Lantaran sumbangannya yang terlalu besar itulah maka hari ini setelah perginya seorang mujahid besar, Almarhum Ustaz Fadhil Nor, maka Tuan Guru naik memegang amanah sebagai Presiden PAS atas kesepakatan dan pengiktirafan semua.Kikislah segala prasangka dan pandangan buruk terhadap beliau. Janganlah kerana marah dan tidak sebenarnya faham akan apa yang berlaku lalu kita mudah meletakkan insan besar ini setaraf dengan musuh-musuh kita yang lain.

Benar Tuan Guru bukannya Fadhil Nor, bukan juga Yusof Rawa atau Asri atau Burhanuddin al Helmy atau Zulkifly Muhammad, tetapi beliau pada hari ini mengetuai PAS dalam keadaan posisinya yang paling hebat dalam sejarah parti yang lebih separuh abad usianya itu. PAS berada ditahap pencapaian itu pada hari ini bukan kerana beliau seorang, tetapi sumbangan seluruh anggota jemaah, walaubagaimanapun hakikatnya PAS hari ini berketuakan beliau.

Berilah ruang dan peluang pada beliau. Berbaik sangka dan berlapang dadalah insyallah kepada Tuan Guru Rusila yang darahnya mengalir pekat dengan kecintaan pada Islam yang tidak pernah kunjung padam itu.

Ubaidah bin al Samit berkata Nabi saw memanggil kami maka kami melakukan mubayaah kepadanya. Nabi menyatakan tentang tanggungjawab kami iaitu:

Hendaklah kami bermubayaah untuk dengar dan patuh dalam keadaan kami suka atau kami benci, dalam keadaan senang atau susah dan juga janganlah kami pentingkan diri sendiri dan janganlah kami mempertikaikan arahan ahlinya (pemimpin) kecuali apabila kamu melihat kekufuran yang nyata sedang berlaku dengan berdasarkan dalil dari Allah swt.
Ya Allah berilah kekuatan kepada pemimpin kami untuk memimpin kami berdasarkan seruan dan tuntutan Mu. Dan berilah kekuatan kepada kami untuk bersama-samanya dalam kedaaan senang atau susah demi memartabtkan agama Mu.

No comments: