Tuesday, July 8, 2008

Piala Malaysia: Kelantan Menang Lagi


Setelah lebih sedekad tidak mengambil tahu perkembangan bolasepak negeri tumpah darahku ini, aku mula tertarik dengan perkembangan terkini terutamanya semenjak bermulanya musim Piala Malaysia.

Skuad Kelantan telah merekodkan kemenangan keempat malam kelmarin dari enam perlawanan dalam Kumpulan C. Kemenangan 3-2 ke atas Sarawak di Kota Bharu telah meletakkan Kelantan di tangga teratas kumpulan. Pasukan ini mungkin hanya memerlukan satu lagi kemenangan dari baki empat perlawanan dan sudah cukup untuk layak ke peringkat suku akhir.

Md. Ramzul Zahini, Md. Amri Fazal dan pemain impot, Jan Necas merupakan senarai penjaring yang melengkapkan kemenangan Kelantan pada malam itu. Sebelum itu, Kelantan juga telah membenam Selangor 5-2 pada 3hb Julai 2008 yang lalu.

Suasana terbaru ini telah mula mengubah persepsi peminat bolasepak Negeri Kelantan untuk memberikan sokongan padu kepada skuad yang amat disayangi ini. Hal ini juga turut mengimbau kembali kenangan lalu iaitu ketika kali terakhir layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA kira-kira 15 tahun yang lalu.

Aku masih ingat lagi tatkala perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-4, Kota Bharu. Aku yang masih dalam Tingkatan 2 ketika itu kaku setelah menyaksikan sepakan sudut Nidzam Adha yang menghasilkan gol untuk Kedah dan seterusnya membawa mereka ke perlawanan akhir.

Sekarang ini, aku mula mencari jersi terbaru skuad Kelantan untuk persediaan perlawanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Jebat malam esok menentang Melaka.
.

No comments: