harakahdaily
Salmah Mat Husain Tue Jul 08, 08 6:51:50 pm MYT
KOTA BHARU, 8 Julai (Hrkh) - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran memasukkan silibus kesedaran menghargai jiwa sebelum mengeluarkan lesen memandu kepada seseorang pemohon baru.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, melalui cara itu diharap setiap pemilik lesen baru menjaga nyawa yang dikurniakan Allah ketika berada di jalan raya dan bukannya merempit sesuka hati.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam.
Kata beliau nyawa adalah kurniaan Allah kepada setiap hambaNya dan ia tidak boleh dibeli atau dipinjam kepada sesiapa pun.
"Jadi kerana itu dicadangkan pada pihak JPJ supaya mengadakan peringatan atau tazkirah kepada pelatih baru sewaktu mengikuti kursus latihan memandu untuk mendapatkan lesen.
"Tak ada gunanya apabila seseorang itu mendapatkan lesen, namun dalam masa yang sama tidak menghargai nyawa sebaliknya merempit sana sini," ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi membina litar lumba di Batu 4 Tanah Merah sebagai usaha mendidik mereka menghormati nyawa kurniaan Allah.
Menurutnya tidak salah memberi peluang anak-anak muda berlumba, namun dalam masa yang sama mendidik mereka kepada cara kehidupan Islam.
"Amat baik sekali wujudkan imam solat di kalangan mat-mat rempit, biar sesama mereka jadi imam solat," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan akan mengambil perhatian khusus terhadap cadangan mewujudkan litar lumba di peringkat jajahan.
Katanya, bagaimanapun pihak kerajaan akan meneliti sejauh mana kejayaan sambutan golongan remaja terhadap litar lumba di Tanah Merah sebelum ia dikembang ke peringkat jajahan.
"InsyaAllah sekiranya mempunyai tanah atau kedudukannya yang sesuai ia boleh dirundingkan," ujarnya.
Beliau juga memberitahu seminar larut malam di kalangan mat-mat rempit pernah dicadang diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya memandangkan seminar itu kurang mendapat sambutan mat-mat rempit ia akan digabungkan bersama Kolokium Belia Sejahtera yang bakal diadakan tidak lama lagi.
_______________________________________________
mahathirismail - Ok jugak tu.. Ajar diorang ni takutkan tuhan.. Sebab diorang ni dah biasa diajar takut kat polis trafik je.. Dengan polis boleh la diorang pecut lari.. Tapi dengan tuhan?..
No comments:
Post a Comment