Friday, July 18, 2008

Tulisan A Kadir Jasin Mengenai Peralihan Kuasa


The Scribe A Kadir Jasin


Peralihan Kuasa: 2 Tahun Adalah Lama

BERITA besar media massa arus perdana sejak semalam adalah pengesahan jadual penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Mohd Najib Abdul Razak.

Menurut laporan muka depan Utusan Malaysia, Abdullah “akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya” pada pertengahan 2010.

Saya sengaja memetik laporan Utusan kerana kedudukannya sebagai akhbar milik Umno.

Dengan kedudukan itu saya menganggap laporan Utusan sebagai paling autoritatif dan boleh dipertanggungjawabkan.

Tetapi apabila saya membaca dengan teliti dan berulang kali saya menjadi agak keliru dan kurang yakin. Bukan tujuan saya mencari salah atau membahaskan semantik.

Soalnya ada jurang yang ketara antara perisytiharan “akan menyerahkan jawatan” dalam perenggan pembukaan (intro) laporan Utusan dengan perenggan keenam yang mengandungi petikan langsung daripada Abdullah yang berbunyi:“Saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Presiden parti dalam Jun atau pertengahan 2010.

”Saya tidak menuduh sesiapa memutarkan kata-kata. Tetapi pada hemat saya ada perbezaan yang halus (subtle) di antara “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan.”Mungkin dalam gaya bahasa Perdana Menteri dan dalam benaknya “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan” adalah sama.

Tidaklah perlu saya mengingatkan sesiapa iaitu dalam politik, perbezaan antara yang tersurat dengan yang tersirat kadang-kadang seperti langit dengan bumi dan masa dua tahun adalah sangat lama dan boleh menjadi selama-lamanya.

Pernah pun berlaku iaitu apabila sampai masanya apa yang dicadangkan tidak dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu. Dalam politik alasan boleh dicari atau dicipta.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan sebagai berkata dia asalnya bercadang bersara pada tahun 1998 dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada waktu itu, Anwar Ibrahim.

Tetapi apabila Krisis Kewangan Serantau berlaku pada tahun 1997 dia menangguhkan cadangannya dan kekal memerintah sehingga tahun 2003. Manakala Anwar pula dipecat daripada Umno dan Kerajaan kerana terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan salah laku.Banyak hal boleh berlaku dalam masa dua tahun. Saya tidak mahu membuat ramalan.

Sebaliknya marilah sama-sama kita mencari jawapan kepada soalan-soalan berikut:

1. Mengapa pada Jun atau pertengahan 2010 dan tidak sekarang atau selepas mesyuarat agung tahunan Umno Disember ini?

2. Mengapakah Abdullah mempertahankan jawatan presiden dan menamakan Mohd Najib sebagai rakan kongsi?

3. Apakah Tengku Razaleigh Hamzah akan meneruskan cadangannya mencabar Abdullah dan Muhyiddin Yassin bertanding jawatan timbalan presiden?

4. Adakah kepemimpinan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan perhubungan negeri bersetuju dengan jadual peralihan kuasa ini?

5. Apakah mungkin mereka mengenakan tekanan ke atas Mohd Najib agar mencabar Abdullah dengan mencalonkan beliau untuk jawatan presiden?

6. Apakah implikasi pelukan mesra Abdullah terhadap Mohd Najib ke atas pakatan bayangan Mohd Najib-Muhyiddin?

7. Apakah sejarah politik bawah tanah pertembungan Anwar-Tun Abdul Ghafar Baba tahun 1993 akan berulang? (MT tidak mahu Ghafar dicabar. Anwar juga berkata dia tidak berhasrat mencabar Ghafar. Tetapi bahagian terus mencalonkan Anwar. Ghafar terpaksa mengaku kalah dan meletakkan jawatan.)

8. Adakah ahli Umno sudah bersedia untuk melihat melepasi Mohd Najib atau Tengku Razaleigh dalam usaha mereka mencari penyelamat parti dan pemimpin negara? dan

9. Dalam kedudukannya sebagai “lame duck Prime Minister” adakah mampu Abdullah menangani masalah negara, khasnya dalam bidang ekonomi, yang semakin mengancam sekarang?Kesimpulannya, jadual penyerahan kuasa yang tertangguh itu boleh menjadi jambatan ke arah kesejahteraan dan boleh juga menjadi senjata makan tuan kepada Abdullah, Mohd Najib dan Umno.

Dalam politik, hanya orang dangkal sahaja akan memipiskan lada apabila melihat burung terbang atau membilang anak ayam sebelum menetas.

Mohd Najib mungkin bukan budak kampung. Masa kecilnya dia mungkin tidak memelihara ayam dan itik. Bagi orang kampung yang memelihara ayam dan itik, dia pasti tahu bahawa tidak ada yang lebih busuk dan meloyakan daripada bau telur buruk.

Saya teringat kepada temu ramah empat mata yang saya lakukan dengan Mohd Najib untuk akhbar Business Times pada tahun 1977 ketika dia masih bujang dan baru setahun jagung sebagai Ahli Parlimen. Masa berlalu begitu pantas!

No comments: