Thursday, August 7, 2008

Tok Guru: Doakan Anwar


(Muka depan Sinar Harian Edisi Kelantan)


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadapkan ke mahkamah hari ini bermotifkan keadilan.

“Berdoa kepada Allah semoga kes ini tidak bermotifkan politik dan kezaliman tetapi ia bermotifkan keadilan,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan liwat selepas satu notis bertulis kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikeluarkan untuk hadir ke mahkamah jam 10 pagi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula menyifatkan undi simpati rakyat terhadap Anwar akan meningkat dan sekali gus memberikan kesan positif kepada Pakatan Rakyat (PR) jika Anwar tidak dibenarkan ikat jamin hari ini.

“Jika Anwar tidak dibenarkan diikat jamin, sokongan padu akan diberikan kepada beliau dan kami akan mengedarkan songkok dan serban Tok Guru kepada rakyat.

“Sebaliknya jika beliau dibenarkan ikat jamin ia sama sekali tidak menjejaskan pergerakan PR dalam menghadapi pilihan raya kecil 26 Ogos ini,” katanya di sini semalam. Menurutnya, kerajaan Pusat membuat kesilapan apabila menghadapkan Anwar ke mahkamah terlalu cepat kerana ia akan meningkatkan sokongan rakyat terhadap beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau bersetuju dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa supaya BN memboikot pilihan raya kecil Permatang Pauh. “Apabila BN boikot pilihan raya kecil itu ia akan memberi laluan mudah kepada PR. Individu seperti Anwar seharusnya diberi tempat dalam Dewan Rakyat untuk suarakan masalah rakyat,” katanya.

No comments: