Monday, August 11, 2008

Tok Guru mahu hafiz pimpin Kelantan


harakahdaily

Zuharman Mohd Nor Sun Aug 10, 08 2:26:10 pm MYT

BACHOK, 10 Ogos (Hrkh) - Hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu melahirkan ramai hufaz di Kelantan kini sudah menjadi kenyataan memandangkan terdapat banyak sekolah hafiz di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, generasi hufaz mempunyai jati diri yang mampu menjadi pemimpin atau pegawai kerajaan yang baik.

"Ini kerana mereka sentiasa dihiasi dengan akhlak mulia dan berkemampuan memimpin ummah," katanya pada majlis penutup Kem Kepimpinan Al-Huffaz Malaysia kali kedua di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjur Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata).

Mohamad yang juga Adun Demit berkata, sekolah hafiz memberi penekanan terhadap pengisian ilmu al Quran dan kepemimpinan.

Oleh itu, katanya bagi mencapai matlamat tersebut kerajaan negeri membudayakan al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan seharian bermula sejak dari awal lagi.

Pada majlis itu beliau juga mengalu-alukan kaedah yang lebih baik bagi memastikan al-Quran dapat dibudayakan dalam kehidupan masyarakat sekarang.

Hadir sama Pengerusi Permata, Drs Randos Nazarudin Jalaludin dan mudir madrasah tahfiz seluruh negara.

Kem bertema 'Solat Membina Insan Cemerlang' dianjurkan Permata dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan diadakan selama tiga hari.

Ia disertai 252 peserta membabitkan 18 madrasah tahfiz dari seluruh Malaysia. Drs Randos berkata, program itu diadakan bagi mendedahkan peserta kepada asas-asas kepemimpinan diri dari pelbagai peringkat di samping melahirkan hufaz yang cemerlang akademik dan syaksiah.

Setiausaha program tersebut, Ustaz Musrahimie Mohd Suhaimi berkata, sambutan peserta kali ini meningkat berbanding program pertama yang diadakan tahun lepas.

No comments: