Friday, August 22, 2008

Tok Guru Presiden di MAHA 2008

Roslan SMS Corner

Mengunjungi MAHA bersama Tuan Guru

Posted by roslan sms at 10:27AM; Thursday - August 21, 2008



Semalam saya berkesempatan mengikuti rombongan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS ke tapak pameran MAHA 2008 di Serdang, Selangor. Memang saya telah lama bercadang mahu mengunjunginya, kebetulan petang semalam Tuan Guru dan Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa memutuskan untuk berkunjung ke sana secara rasmi, maka berpeluanglah saya ikut serta. Turut serta adalah SETPOL Presiden Dr Shamsuri dan SU Sulitnya Hj Zaihan.

Saya tidak pernah mengunjungi MAHA sebelum ini, ternayata ia menjadi pusat tarikan pengunjung apabila saya dapati rakyat jelata berpusu-pusu ke sana walaupun ketika itu sekitar jam 2.00 petang, panas terik. Mungkin kebetulan mereka mengambil kesempatan dari cuti persekolahan. Jalan masuk sesak, mujurlah penganjur menyediakan tram percuma untuk menghampiri pintu masuk dari tapak letak kereta.

Sejurus tiba Tuan Guru dan rombongan telah disambut oleh para pegawai kanan kementerian dan diberikan taklimat oleh Timbalan Menteri Pertanian dan para pegawai kanannya. Selepas itu Tuan Guru diminta menyatakan tapak pameran yang mana satu mahu dikunjunginya, oleh kerana MAHA ini terlalu luas dan pasti tidak selesai sehari untuk melawat keseluruhan tapak pamerannya. Tuan Guru memilih untuk mengunjungi sektor yang diminatinya iaitu penternakan dan perikanan.

Tuan Guru disamping memang seorang anak nelayan, dan sering ke laut, juga menternak kambing. Oleh itu apabila mengunjungi tapak pameran penternakan khasnya yang mempamirkan kambing-kambing pelbagai jenis, beliau mahir dan bertukar-tukar pandangan dengan pegawai kementerian yang mengiringinya.


Kami sempat juga mengunjungi tapak pameran jentera pertanian dan mengakhiri kunjungan di tapak perikanan.

Saya perhatikan rakyat jelata yang mengunjungi MAHA 2008 semalam begitu senang hati apabila dapat bertemu muka dengan pimpinan tertinggi PAS. Tumpuan Tuan Guru sering terganggu apabila ramai yang memohon untuk bergambar bersama beliau disamping bertegur -sapa dan menjabat tangan termasuklah anak-anak muda dan kecil serta pengunjung dan peserta Cina dan India. Tuan Guru tidak menolak permohonan mereka, semuanya dilayan dengan mesra.

Cuma satu yang saya terpaksa akui, oleh kerana Tuan Guru berpuasa maka pihak penganjur dan peserta pameran tidak berpeluang menjamu beliau, dan saya sendiri terlepaslah peluang untuk menjamah apa yang disediakan kerana menghormati Tuan Guru. Satu yang ingin saya kongsi di sini, Tuan Guru berpuasa nazar. Sebelum keputusan PRU ke 12 lalu beliau telah bernazar akan berpuasa sejumlah hari sebanyak mana bilangan kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam PRU itu.

Bermakna keputusan akhirnya PAS menang 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi DUN, maka Tuan Guru wajib (atas dirinya) berpuasa 106 hari kerana nazarnya dan demi mensyukuri nikmat yang Allah swt berikan kepada parti pimpinannya itu. Agaknya berapa orang diantara kita yang ada bernazar begitu?

Setelah mengelilingi destinasi yang dimaksudkan lebih dua jam, kami berangkat pulang. Saya masih boleh terbayang wajah ceria dan gembira para pegawai, kakitangan dan rakyat jelata yang sempat bersama Tuan Guru di MAHA 2008 semalam, demikianlah aura seorang ulamak yang tawadhuk, disegani dan disayangi semua.

No comments: