Friday, September 12, 2008

Berita dari Kuala Krai: 11hb September 2008

Sinar Harian
[Edisi Kelantan, Berita Daerah - Kuala Krai]


Warga emas OKU terima perbelanjaan Ramadan

KUALA KRAI - Seorang warga emas kurang upaya, Abdul Wahab Ismail, 70-an, terharu menerima sumba-ngan selepas berpuluh tahun memegang status orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan yang dialaminya.

Abdul Wahab berkata, sejak mengalami kecacatan akibat kemalangan yang dialaminya lebih 20 tahun lalu, segala pergerakannya terbatas.


“Saya tidak dapat berjalan dengan baik dan terpaksa menggunakan tongkat untuk menyokong pergerakan saya.

“Sejak itu, saya tidak lagi bekerja dan kini hanya tinggal dengan cucu di Sungai Embak.

“Menerusi sumbangan yang diberikan ini, dapatlah saya gunakan untuk keperluan pada sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Untuk itu, Abdul Wahab merakamkan penghargaannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman di atas sumbangan yang dihulurkan.

Katanya, sebelum ini dia pernah memohon untuk mendapatkan sebuah motosikal roda tiga daripada pihak berkenaan, tetapi gagal mendapatkannya.

“Dahulu, saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan motosikal roda tiga untuk memudahkan pergerakan ke masjid misalnya.

“Tetapi apabila permohonan diproses separuh jalan, permohonan saya dikatakan tidak layak dan ditolak kerana dikatakan orang berada,” jelasnya. Kini Abdul Wahab sedang membuat permohonan yang sama daripada kerajaan negeri.

No comments: