Monday, September 15, 2008

Berita dari Kuala Krai: 15hb September 2008 [Isnin]


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]

Program tadarus isi penghayatan Ramadan

SUNGAI DURIAN – Kesedaran terhadap kepentingan pengisian Ramadan ini dengan pelbagai amalan, kira-kira 200 penduduk sekitar menghadiri program tadarus al-Quran yang diadakan markas Pas Sungai Durian dekat sini, semalam.

Program anjuran Lujnah Tarbiah, Pas Perhubungan Negeri Kelantan tersebut adalah program tahunan yang diadakan bagi setiap kawasan di negeri ini. Menurut setiausaha Pas kawasan Kuala Krai, Mohd. Nasir Daud, program tadarus al-Quran adalah acara tahunan sempena kedatangan Ramadan.

“Setiap tahun ,program ini mengisi ruang Ramadan sebagai salah satu langkah penghayatan bulan mulia ini.

“Kita sedar kehadiran Ramadan setahun sekali, bukan dapat dinikmati semua orang dan ini adalah salah satu langkah bermanfaat untuk menambahkan pahala.

“Sambutan yang diterima tahun ini, lebih menggalakkan berbanding tahun lepas dengan kehadiran lebih ramai penduduk dari jauh dan dekat,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Katanya, melalui program tersebut juga dapat menghimpunkan ramai penduduk bersama para pemimpin tempatan dan sekali gus merapatkan ukhuwah sesama saudara seagama.

“Program ini bermula dengan solat Asar berjemaah bersama. Kemudian, disampaikan tazkirah sebelum majlis tadarus diadakan.

“Majlis ini juga turut dihadiri beberapa pemimpin tempatan dari luar daerah. Selepas tadarus kami adakan majlis berbuka puasa bersama.

“Kami percaya majlis ilmu dan kerohanian sebegini banyak memberi manfaat dari aspek merapatkan hubungan dengan Tuhan dan hubu-ngan sesama penduduk,” jelasnya.

Antara pemimpin tempatan yang hadir termasuk beberapa Exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Mohd. Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr. Mohd. Fadhli Datuk Hassan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

No comments: