[Edisi Kelantan - Berita Daerah]
Bangunan sarang burung dirobohkan
KUALA KRAI - Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) semalam bertindak merobohkan tingkat keempat sebuah bangunan yang sedang dibina berhampiran Taman Sri Guchil, dekat sini, dipercayai untuk dijadikan sarang burung layang-layang atas kesalahan menyalahi pelan asal yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Seorang guru yang juga penduduk Taman Sri Guchil, Azhar Ilias berkata, tindakan tegas diketuai Setiausaha MDKK, Shamsul Abu Bakar sebagai susulan arahan supaya kerja membina bangunan itu dihentikan awal bulan ini sememangnya dialu-alukan penduduk taman yang rata-ratanya membantah projek sarang burung tersebut.
“Mewakili penduduk taman ini, saya nak merakamkan ucapan terima kasih kepada MDKK terutama setiausahanya (Shamsul) atas tindakan tegas merobohkan tingkat ‘haram’ ini dan saya harap tindakan ini boleh dijadikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba ‘mengganggu’ ketenteraman hidup kami,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurut Azhar, penduduk taman juga melahirkan penghargaan atas tindakan MDKK itu yang secara tidak langsung menunjukkan PBT berkenaan peka dengan aduan dan rungutan yang dibuat masyarakat.
“Saya berharap MDKK akan meneruskan sikap (peka) ini dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kuala Krai khususnya dalam menangani masalah pembinaan sarang burung haram sehingga mengganggu keselesaan dan ketenteraman orang ramai,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Sri Guchil, Wong Wee Keong berkata, penduduk sememangnya berterima kasih kasih kepada MDKK atas tindakan tegas tersebut, namun pada masa sama berharap bangu-nan tiga tingkat yang masih ada itu tetap tidak dijadikan sarang burung layang-layang.
“Selepas ini kami harap MDKK dapat memastikan bangunan ini tidak dijadikan sarang burung layang-layang kerana kedudukannya tidak sesuai apabila dibina berhampiran kawasan perumahan serta bersebelahan kilang memproses makanan dan Tadika (taman didikan kanak-kanak),” ujarnya.
“Selain masalah pencemaran dan bunyi bising, kanak-kanak di Tadika ini juga akan berdepan risiko penyakit berbahaya seperti selesema burung kesan daripada kehadiran burung layang-layang yang banyak di kawasan ini,” tegasnya.
Berita MDKK mengambil tindakan tegas dengan menahan serta-merta kerja pembinaan bangunan dipercayai untuk dijadikan sarang burung layang-layang itu setelah mendapati ia melanggar pelan asal yang diluluskan PBT berkenaan pernah disiarkan Sinar Harian pada 9 September lalu.
Difahamkan, tindakan menahan kerja pembinaan bangunan pada awal bulan itu adalah yang kedua kerana sebelum itu MDDK pernah mengambil tindakan serupa selama sebulan atas kesala-han sama iaitu menyalahi pelan asal bangunan yang dikemukakan pemaju dan diluluskan PBT terbabit.
No comments:
Post a Comment