Friday, October 24, 2008

Berita dari Kuala Krai: 24hb Oktober 2008 [Jumaat]

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah

Kejohanan catur cari bakat muda

KUALA KRAI – Kelab Catur Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Sultan Yahya Petra 2 bakal menganjurkan Kejohanan Catur Terbuka Petra 2 esok bertempat di Dewan SMK Sultan Yahya Petra 2.

Pengarah kejohanan tersebut, Nik Mohd Azrihan Abdul Ghafar berkata, ia dianjurkan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan.

“Sukan catur adalah sebuah acara bertaraf dunia dan kita masih belum mempunyai pemain catur Grand Master (GM) dan setakat ini kita hanya ada pemain bertaraf Internasional Master (IM) iaitu Mashafizul Hilmi yang juga anak kelahiran Kelantan.

“Kini beliau satu-satunya rakyat negara ini cuba untuk mencapai tahap GM dan kita tumpang berbangga mengenai pencapaian beliau.

Sehubungan itu, kejohanan ini untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain seperti Mashafizul yang layak ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, setakat ini terdapat sebanyak 147 penyertaan dari seluruh negeri termasuk dari Terengganu dan Kedah.

Kejohanan kali ini melibatkan empat kategori iaitu terbuka, 18, 15 dan 12 tahun. Kategori terbuka dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM10, manakala kategori selainnya hanya RM5.

Bagaimanapun, beliau mensasarkan penyertaan bakal mencecah 200 orang menjelang pagi Sabtu ini.

Penyertaan paling ramai setakat ini ialah melalui kejohanan catur terbuka USM dengan 183 peserta. “Kita harap penyertaan akan bertambah menjelang hari pertandingan nanti kerana hadiah ditawarkan juga lumayan.

“Hadiah tempat pertama bagi kategori terbuka ialah wang tunai sebanyak RM300, tempat kedua RM200, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM100, dan tempat kelima sehingga ke-10 bakal mendapat RM50 setiap seorang selain sijil penyertaan serta medal.

“Manakala bagi kategori lain menawarkan hadiah wang tunai RM120 bagi johan, RM100 bagi tempat kedua, RM80 bagi tempat ketiga dan sagu hati bagi tempat keempat sehingga ke-10,” kata Nik Mohd Azrihan.

Katanya, penganjuran kejohanan catur di negeri ini masih berkurangan iaitu hanya terdapat kejohanan Terbuka USM dan Terbuka Sekolah Menengah Sains Machang sahaja.

“Penganjuran kejohanan adalah penting untuk mengasah bakat dan kemahiran pemain, lebih banyak pertandingan, maka lebih banyak kemahiran yang diperoleh pemain.

“Di negeri luar lebih banyak penganjuran kejohanan catur diadakan. Di sini, penganjuran kelab kita adalah pihak ketiga mengadakan kejohanan berkaitan.

“Pada kejohanan peringkat kebangsaan lalu, kategori bawah 12 tahun perempuan Kelantan berjaya menggondol pingat emas bagi acara berpasukan. Dua daripada pemainnya adalah daripada Kuala Krai.

Beliau menjangkakan prospek catur pada masa depan akan lebih baik sekiranya terdapat lebih banyak inisiatif untuk mengadakan kejohanan berkenaan.

Katanya, kejohanan kali ini mendapat sokongan banyak pihak termasuk sokongan moral pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran daerah Kuala Krai sendiri. “

Kali ini kita bernasib baik mendapat banyak penajaan hasil usaha pengarah kejohanan bahagian penajaan, Saiful Akrami Mohd. Noor.

“Kami mendapat penajaan termasuk daripada Merina Metal And Trading, Kesedar, Kumpulan Sukimi, Perdana Resort, CIMB, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Tabung Amanah Tok kenali dan beberapa penyumbang individu,” katanya.

Nik Mohd Azrihan berkata, kejohanan tersebut bakal bermula dengan pendaftaran seawal jam 8 pagi sebelum pertandingan bermula kira-kira jam 9.30 pagi sehingga 5 petang.

2 comments:

bita0206 said...

Mohd Zamri Ismail akan menggegarkan kuala krai dengan menyertai terbuka bawah 18 tahun... Ini kerana abang nya pernah dinobatkan juara negeri Selangor pada tahun 1998 semasa bersekolah di Kajang pada masa itu.....

mahathirismail said...

Koya.. baa..