Tuesday, October 28, 2008

Berita dari Kuala Krai: 28hb Oktober 2008 [Selasa]

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah

30 murid terima sumbangan Deepavali

PASIR GAJAH – Walaupun penduduk kaum India semakin berkurangan di ladang Pasir Gajah, beberapa kanak-kanak yang masih bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Pasir Gajah tetap menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali.

Kelmarin, 30 murid dari sekolah berkenaan menerima sumbangan hamper daripada badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club Kuala Krai, District 308 B1 Malaysia.

Gabenor Kawasan, Dr J.P Kamalanathan berkata, walaupun penduduk kaum India di kawasan Ladang Pasir Gajah semakin berkurangan, tetapi mereka tetap memerlukan perhatian yang sama terutama musim perayaan ini.


Menurut Kamalanathan, kebanyakan kaum India di daerah tersebut kini menetap di kawasan bandar dan menghantar anak mereka bersekolah di kawasan bandar dan bukan lagi di kawasan itu.

Namun, katanya, setiap kali musim perayaan, mereka tetap memilih lokasi tertentu untuk memberikan agihan perayaan bagi setiap kaum.

“Jika pada sambutan Aidilfitri lalu kita pilih kanak-kanak kurang upaya menerima hamper dan bersempena Deepavali ini kita pilih kanak-kanak kawasan ladang ini untuk menerima sumbangan tersebut.

“Ia adalah sebagai tanda penghargaan dan bagi memberikan sedikit cahaya kegembiraan kepada kanak-kanak tersebut meraikan perayaan mereka,” ujarnya kepada Sinar Harian selepas penyerahan sumbangan berkenaan kelmarin.

Katanya, kanak-kanak berkenaan berhak meraikan sambutan perayaan setahun sekali ini dengan penuh bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan mereka yang lain.

Dalam majlis yang sama, Kamalanathan juga memberikan saranan agar semua kanak-kanak menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran untuk masa hadapan mereka.

“Telah ramai golongan pekerja estet berhijrah ke bandar untuk mengubah nasib keluarga mereka yang mana kanak-kanak ini juga boleh melakukan perkara yang sama untuk mengubah mobiliti sosial mereka.

“Mereka perlu menumpukan kepada pelajaran kerana hanya pelajaran dapat mengubah nasib mereka untuk menjadi seorang yang berguna pada masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, guru besar SJK Tamil Pasir Gajah, Gnanamoney Moses merakamkan penghargaan kepada pihak Lions Club yang sudi menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak sekolah berkenaan sempena sambutan perayaan tersebut.

Menurut Gnanamoney, beliau ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada pihak Lions Club yang sentiasa prihatin terhadap semua kaum di daerah itu termasuk kanak-kanak tersebut.

“Walaupun bilangan mereka di sini amat kecil tetapi dengan sumbangan yang diberikan, saya pasti semua kanak-kanak ini tetap gembira di atas perhatian dan sumbangan yang diterima.

“Semoga pada masa hada-pan pertubuhan bukan kerajaan ini akan tetap bergerak aktif dalam masyarakat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, sekolah berkenaan hanya mempunyai 30 orang murid dan tujuh tenaga pengajar dan merupakan satu-satunya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di daerah Kuala Krai.

No comments: