Thursday, October 30, 2008

Berita dari Kuala Krai: 30hb Oktober 2008 [Khamis]



.
.
Edisi Kelantan - Berita Daerah

Saluran paip pecah punca gangguan air

KUALA KRAI – Masalah bekalan air yang sering terputus di kawasan perumahan Taman Sri Nal dikatakan berpunca daripada masalah paip pecah di beberapa sekitar dan kerja-kerja penyelenggaraan sedang giat dijalankan.

Eksekitif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata, merujuk kepada aduan salah seorang penduduk dalam ruangan aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bertarikh 26 Oktober lalu berkaitan masalah air di Taman Sri Nal, Kuala Krai, ia adalah berpunca daripada masalah saluran paip pecah di beberapa lokasi.

“Dalam kejadian pertama sebatang paip utama pecah dikesan di Kampung Padang Sembilan berlaku pada 21 Oktober, manakala kejadian kedua pada 23 Oktober berlaku pada saluran paip berhadapan Risda, Kuala Krai serta saluran paip ketiga pecah berlaku pada 23 Oktober di Kampung Padang Rahmat.

“Untuk makluman pengguna, kerja-kerja penutupan sementara injap agihan bekalan air terpaksa dilakukan semasa kerja pembaikan paip utama dilakukan dan ini secara tidak langsung mengakibatkan gangguan bekalan secara sementara kepada pengguna,” ujarnya dalam kenyataan akhbar kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, pihak AKSB juga dari semasa ke semasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di Loji Tualang, dan ini akan sedikit sebanyak mengganggu bekalan air (tekanan rendah) kepada pengguna.

Selain itu, katanya, untuk rekod juga, pada 26 Oktober lalu, terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di loji Tualang tersebut, bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Dari satu aspek lain perkara ini juga berkemungkinan berkaitan dengan sistem dalaman di premis pengguna itu sendiri yang mana tahap simpanan air di rumah pengguna tersebut mungkin tidak memenuhi keperluan bekalan air untuk tempoh 24 jam (sehari).

“Sehubungan itu, bagi meningkatkan tahap bekalan air di premis pengguna berkenaan, pihak AKSB menyarankan supaya pengguna menambahkan kapasiti tangki simpanan mereka,” ujar Hazwan.

Hazwan berkata, untuk maklumat lanjut, sebarang aduan juga boleh disalurkan ke Pusat Info dan Talian Aduan AKSB (Pintas), di talian 1300-88-2572, dan pihak AKSB sentiasa akan menyelesaikan setiap aduan untuk memastikan mutu perkhidmatan yang lebih baik dapat disampaikan kepada pengguna.

No comments: