HarakahDaily.Net
Antara Ali Rustam dan Anwar, siapa lebih didewakan?
Ahmad Tajdid Wed Oct 08, 08 1:30:04 am MYT
Tentunya pelbagai jawapan dapat diberi. Bergantung kepada persepsi masing-masing. Mungkin ramai yang meletakkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai jawapan. Memang benar kerana Melaka adalah negeri bersejarah.
Ada yang pasti memilih keunikan masjidnya. Benar, kebanyakan masjid lama di Melaka mempunyai pengaruh seni bina Cina. Tidak ketinggalan Masjid Negeri Al-Azim yang terletak di pinggir bandar berhampiran Hospital Melaka.
Apa lagi ya? Tentunya gerai asam pedas dan ikan bakar yang menjadi kegilaan pelancong khususnya dari negara jiran Singapura.
Kubu Umno? Betul juga kerana hingga saat ini belum ada satu kawasan Dun dan Parlimen yang ditandingi Umno berjaya dirampas parti-parti lawan BN khususnya PAS.
Tapi kalau ditanya kepada saya, jawapannya pasti mengejutkan. Melaka berlainan dari negeri-negeri lain kerana ia lebih mendewa-dewakan pemimpin khususnya Ketua Menterinya!
Lihat sajalah di segenap simpang jalan utama di negeri bersejarah itu, terutama ketika menjelangnya Aidilfitri. Sepanduk (banner) yang memuatkan gambar Ketua Menteri Melaka digantung semahu-mahunya. Imej Dato' Seri Mohd Ali Rustam dengan 'misai tebal ular sawanya' dapat dilihat di mana-mana sahaja.
Keadaan ini jarang dapat dilihat kecuali di negara-negara komunis seperti Korea Utara dan Cuba.
Tentunya bagi mereka yang celik matematik dapat membayangkan berapa kos yang terpaksa dibelanja kerajaan negeri, kerajaan tempatan mahupun BN dan Umno negeri semata-mata bagi memenuhkan setiap simpang jalan utama di Melaka dengan gambar Ali Rustam!
Itu tidak termasuk papan iklan (billboard) yang dipasang oleh Majlis-Majlis Perbandaran di Melaka yang juga memuatkan gambar-gambar gergasi Ali Rustam.
Oleh itu teguran Ali Rustam terhadap pembinaan 'replika gergasi' Dato' Seri Anwar Ibrahim di Batu Caves, Kuala Lumpur memang menghairankan.
Ia umpama menampar air di dalam dulang terpercik ke muka sendiri ataupun meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri.
Jika Ali Rustam menyifatkan pemasangan 'riplika' Anwar itu (sebenarnya papan iklan gergasi) menunjukkan KeADILan mendewa-dewakan pemimpin; apa pula istilah wajar yang boleh diguna pakai atas keghairahan Melaka memaparkan imej Ali Rustam di segenap simpang jalan utama di negeri itu?
Ali Rustam yang juga Naib Presiden Umno turut menasihatkan agar wang membina 'replika Anwar' itu digunakan KeADILan untuk membantu rakyat miskin.
"Saya nak tanya pada PAS, apakah pembinaan replika Anwar ini diluluskan oleh PAS," soal Ali Rustam.
Jika replika dan papan iklan pun gagal dibezakan oleh Ali Rustam dan para pemimpin Umno, tidak payahlah nak bertanya tentang pandangan ulama PAS.
Lagipun sejak bila pemimpin Umno mematuhi fatwa mahupun menghormati pandangan ulama?
Lihat sahajalah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan tentang upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara. Kerajaan BN ikutkah? Bagaimana pula dengan program Sure Heboh atau Jom Heboh yang disifatkan haram oleh Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria. Umno ikutkah?
Malasnya nak ulas pasal Umno dan Ali Rustam. Semakin lama, semakin tidak relevan!
No comments:
Post a Comment