Friday, October 31, 2008

Karnival Sains dan Teknologi di Kelantan

HarakahDaily.Net

Peluang kerjaya sempena Karnival Sains dan Teknologi

Mohd Nor Yahya Thu Oct 30, 08 5:53:03 pm MYT

KOTA BHARU, 30 Okt (Hrkh) - Kerajaan Kelantan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) akan menganjurkan Karnival Sains dan Teknologi peringkat negeri selama empat hari bermula 6 Novemnber ini.

Program itu akan diadakan di Balai Islam, turut mendapat kerjasama Yayasan Islam Kelantan, Jabatan Pelajaran Negeri dan Konsortium ICT Kelantan.

Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Nor Shafini Md Saidan berkata, karnival itu merupakan kali ke-10 diadakan, di mana tema tahun ini 'ICT- Peluang Untuk Semua'.

Katanya, sebanyak 60 gerai pameran membabitkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, di antaranya Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pameran yang diadakan berkaitan produk baru sains dan teknologi, maklumat kerjaya, rekacipta, inovasi, pameran ICT, internet, intranet, multimedia, animasi, sistem maklumat geosains, produk komunikasi, pameran buku dan komputer.

"Orang ramai dan pelajar juga dapat menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk kuiz sains dan teknologi, cabutan bertuah dan pendedahan terhadap penemuan baru dalam bidang sains," katanya di sini.

Majlis perasmian karnival itu akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pagi 6 November.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan berharap pelajar dan orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival tersebut.

"Saya berharap rakyat negeri ini terutamanya pelajar akan mengambil peluang datang menyaksikan pelbagai pameran berkaitan sains dan teknologi," ujar beliau.

Beliau juga berkata, kemajuan sains dan teknologi ada kebaikannya terhadap umat manusia sekiranya ia diurus dengan baik.

Orang ramai juga boleh mendapat maklumat lanjut berkaitan pameran sains dan teknologi terbabit dengan melayari http://ppst.kelantan.gov.my.

1 comment:

Anonymous said...

best jugok nih....mehlah pakat g ghama2...