Dua malam lepas, kira-kira jam 12:30 malam, aku menerima panggilan telefon ibu. Berdegup kuat jantung ini memikirkan jika ada musibah yang berlaku terhadap keluargaku di kampung kerana sebelum ini ibu tidak pernah membuat panggilan pada lewat malam.
Dengan berlatarbelakangkan bunyi yang bising serta riuh rendah orang ramai, aku amat takut sekali.
Ibuku kemudiannya memaklumkan bahawa ketika itu dia sedang melihat kejadian kebakaran di sebuah rumah kedai yang dimiliki oleh seorang sahabat kepada abah, kira-kira 200 meter dari rumah kami.
Kebakaran tersebut turut mengakibatkan kemusnahan dua buah kedai bersebelahan milik penghuni Cina.
Kedai tersebut (milik Abe Nawi) sentiasa menjadi tumpuanku setiap waktu tengahari apabila aku pulang ke kampung kerana nasi campurnya memang agak terkenal di kampung kami.
Aku cukup bersimpati kepada Abe Nawi di atas kejadian tersebut dan diharapkan beliau sentiasa bersabar menghadapinya.
Kejadian ini juga turut mendapat liputan dari akhbar Sinar Harian sebagaimana berikut;
______________________________________
sinar harian
Edisi Kelantan - Khamis (23hb Oktober 2008)
Ranap dalam 20 minit
KUALA KRAI - Tiga unit rumah kedai terdiri daripada sebuah kedai makan dan dua kedai ‘hardware’ (barangan logam) yang didiami dua keluarga musnah dalam kebakaran di Guchil 1 di sini, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sembilan orang dalam dua keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang apabila mereka gagal menyelamatkan harta benda selepas api dipercayai berpunca dari sebuah bilik di kedai makan terbabit marak dengan pantas.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Nasir Hassan berkata, seramai 10 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik saja pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada kira-kira jam 11.40 malam.
“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengawal api daripada merebak dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1 pagi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di sini, semalam.
Menurut Mohd Nasir, hasil maklumat mangsa, kebakaran dipercayai berpunca daripada lintar pintas pada kipas dinding dalam sebuah bilik di kedai makan terbabit dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM470,000.
“Harta benda bernilai kira-kira RM150,000 dalam gudang di belakang premis yang terbakar bagaimana pun berjaya diselamatkan,” katanya memberitahu sebuah kereta dan motosikal turut berjaya diselamatkan mangsa.
Sementara itu, pemilik dua kedai barangan logam terbabit, Chiam Peng Leng atau lebih dikenali sebagai Gemuk dalam kalangan masyarakat di daerah ini berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama isteri sebelum mendengar suara orang ramai menjerit memberitahu kedainya sedang terbakar.
“Bila dengar orang menjerit ada api, saya dan isteri terus berlari keluar. Masa nak turun tangga, api sudah ada di tepi tangga tapi bila saya nak masuk balik untuk ambil barang berharga sudah tak boleh sebab api sudah marak,” katanya.
Peng Leng memberitahu, dua kedai terbabit merupakan premis utama yang dijadikan tempat untuk menyimpan pelbagai barangan logam dan besi bernilai tinggi dengan salah satu daripada kedai itu didiami seorang pekerjanya, Lee Jee Wee.
“Kerugian saya anggarkan kira-kira RM300,000,” katanya memberitahu sudah menjalankan perniagaan di premis itu sejak 36 tahun lalu.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan terbabit, Mat Nawi Abdul Hadi, 43, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara sembilan hingga 14 tahun berada dalam rumah itu.
“Masa itu kami sedang tidur sebelum saya dengar bunyi bising orang ketuk dinding rumah. Saya tak ambil kisah sangat sebab kawasan ini memang selalu bising tapi bila dengar orang sebut api, saya terus ambil anak-anak dan bawa mereka keluar,” katanya.
Menurut Mat Nawi, dia cuba memadamkan api dalam bilik tidur yang menjadi punca kebakaran itu menggunakan paip getah namun gagal kerana tekanan air rendah sebelum bertindak memadamkan suis utama.
“Tapi masa itu sudah terlambat sebab api sudah menyambar dinding rumah,” katanya yang turut cedera ringan di bahagian lengan apabila cuba masuk semula ke kedai itu untuk menyelamatkan wang tunai RM22,000 yang disimpan merata dalam premis berkenaan.
1 comment:
siyenyo...moga tuan kedai kuat semangat, redha dan sabar ngan dugaan ni...capati keda ni sedap
Post a Comment