Thursday, December 4, 2008

Komen Tok Guru mengenai keanggotaan bukan Islam di dalam PAS

sinar harian
Edisi Kelantan - 4hb Disember 2008 [Khamis]

Nik Aziz tetap mahu bukan Islam sertai Pas

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menyatakan cadangan untuk membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam walaupun tidak dipersetujui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pada asasnya kami terima dan buka ahli kepada mereka yang bukan Islam, tetapi dari segi teknikal bila hendak melaksanakannya ada masalah kedua, kerana Islam adalah untuk semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, perkara tersebut dibincangkan bertahun-tahun dan pada mesyuarat di Perak baru-baru ini, perkara tersebut telah dibincang dan tiada sesiapa yang menentangnya.

Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu beri peluang kepada mereka yang bukan beragama Islam kerana sekarang ini masyarakat yang bukan Islam ada yang telah menubuhkan Kelab Penyokong Pas.

Menurutnya, ia menunjukkan orang bukan Islam mahukan Pas dan mereka turut berkempen untuk calon parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Dari segi politik kita tidak boleh berpolitik kepada bangsa Melayu sahaja, ini kerana dalam politik semua bangsa terlibat sama.

“Seperti mana yang saya lihat semasa menghadiri sebuah ceramah di Temerloh, Pahang di mana saya dengar orang Hindu menyebut ayat al-Quran di dalam ceramahnya dan ini memberikan satu kebanggaan kepada saya," katanya.

Beliau berkata, itu telah membuktikan mereka mahukan Islam dan soal mereka mahu masuk Islam dan terima sistem Islam adalah masalah kedua.

“Tetapi, dalam parti mereka berminat kepada Pas dan kita perlu beri peluang kepada mereka di dalam parti ini," katanya.

No comments: