Thursday, February 12, 2009

Hasil Pimpinan PR di Perak

malaysiakini

K'jaan Pakatan Perak berjaya selesai isu-isu tertunggak...

Feb 11, 09 1:40pm

Sepanjang 10 bulan mentadbir Perak, kerajaan negeri telah dapat menyelesaikan dalam masa yang singkat, isu-isu yang sudah lama tertunggak, kata Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Katanya, antara isu-isu yang dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak ialah:

  • Sebagai menteri besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin membatalkan kesemua aktiviti membalak dan perladangan di kawasan Orang Asli di sekitar Gopeng yang menjejaskan lebih 2,000 penduduk Orang Asli.

  • YB Sivanesan mengumumkan pemulangan kira-kira 400 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat tersebut, yang telah diperuntukan untuk aktiviti pembalakan oleh kerajaan sebelumnya di Mukim Teja dekat Gopeng.

  • Kerajaan negeri telah mengumumkan pemulangan kira-kira 500 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat Orang Asli Kampung Chang Sungai Gepai di Bidor, yang telah diperuntukkan sebagai tapak Taman Botani, oleh kerajaan sebelumnya.

  • Sebuah pasukan khas mengenai hak tanah Orang Asli ditubuhkan untuk mengiktiraf secara rasmi semua tanah adat Orang Asli di Perak. Pasukan itu mempunyai dua peringkat.

  • Peringkat kedua dikendalikan secara eksklusif oleh masyarakat Orang Asli sendiri dan dewan mesyuarat di bangunan SUK disediakan untuk kegunaan Orang Asli.

  • Kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas Orang Asli bagi negeri Perak yang ditugas untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

  • Mengadakan siri perbincangan dengan rakyat dan NGO mengenai aktiviti pembangunan di Ipoh. Sebagai contohnya, pandangan awam diminta berhubung cadangan pembangunan Pasar Yau Tet Shin.

  • Penduduk Melayu dan Cina di kampung baru dan kampung tersusun diberi hakmilik kekal secara berperingkat.

Ambiga berkata, Majlis Peguam gembira melihat hasil-hasil yang positif yang dicapai dalam tempoh masa yang singkat untuk menangani isu-isu terbabit.

"Kita berharap kepentingan yang sama akan diberikan terhadap perkara-perkara berkenaan dan terus dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Malah, kita menggesa kerajaan negeri supaya bersikap pro-aktif berhubung isu-isu yang membabitkan Orang Asli, masyarakat yang terpinggir dan kurang bernasib baik," katanya.

No comments: