Thursday, June 25, 2009

Manek Urai: Calon Umno dikenalpasti?


malaysiakini

Tuan Aziz calon BN di Manek Urai?
Muda Mohd Noor Jun 24, 09 12:24pm

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai, bulan depan.

Beliau boleh diterima oleh majoriti pengundi dan penyokong Umno daripada kem yang bertentangan antara kumpulan ketua bahagian kini Datuk Ramzi Abdul Rahman dan tokoh yang digantikannya Datuk Wan Zaid Abdullah.

Malaysiakini diberitahu semalam, Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian.Dua lagi nama: naib ketua Umno bahagian Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.

Menurut sumber-sumber Umno, nama mereka dipilih sendiri oleh jawatankuasa Umno bahagian tersebut baru-baru ini.

Kata sumber, jika calon Manek Urai tidak sesuai dengan kehendak penyokong Umno, ramai daripada mereka mungkin tidak akan berkempen.

"Perlu diambil kira mengenai 28 daripada 42 cawangan yang tidak menyokong Datuk Ramzi," kata sumber lagi.

Beri mandat

Oleh itu, tambah sumber, Umno bahagian telah memberi mandat kepada jawatankuasa bahagian memilih tiga nama calon yang paling sesuai untuk bertanding di Manek Urai.

"Saya rasa nama-nama yang sesuai itu telah dihantar ke peringkat atasan untuk diteliti dan diputuskan," katanya.

Ketika dihubungi, Tuan Aziz berkata beliau "tidak tahu" siapa yang akan dipilih menjadi calon BN untuk DUN Manek Urai.

Katanya, jika boleh, beliau tidak mahu dipilih sebagai calon kerana ramai lagi pemimpin lebih kanan yang sesuai untuk bertanding di situ.

Pilihanraya kecil Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, Mei lalu.

Hari penamaan calon ditetapkan 6 Julai dan mengundi 14 Julai. Sementara itu, Azizuddin pula berkata beliau sedia memikul tanggungjawab tersebut jika dipilih sebagai calon BN.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu melobi jawatan tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

No comments: