Wednesday, April 20, 2011

Isu Presiden PAS: Ulasan Tok Guru

Mutakhir ini, pendokong PAS dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan terdapat usaha untuk menggantikan tampuk pimpinan parti Islam ini terutamanya Presiden PAS.

Memandangkan dunia kita ini diterjah dengan sumber informasi yang tidak terbatas (internet), maka wujudlah banyak pandangan yang dilihat ke arah itu selepas Tuan Guru Haji Abd Hadi beberapa kali dipersalahkan atas ujian yang menimpa parti Islam ini dari segi keputusan pilihanraya yang terbaru serta kelemahan seorang pemimpin untuk memperkasakan lagi parti ini bagi menghadapi ujian yang lebih besar di masa hadapan.

Timbul juga beberapa nama-nama segar (mungkin disebabkan usia yang lebih segar) yang dilihat mampu menyuntik semangat di dalam parti apabila mereka ini diberi tanggungjawab mengepalai parti seperti apa yang telah diputuskan oleh PAS Bahagian Bukit Bintang.

Namun begitu, adalah lebih baik kita sama-sama bermuhasabah diri terlebih dahulu bagi memastikan diri kita ini lebih kental dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan sama ada semasa pilihanraya mahupun lain-lain isu yang timbul.

Di samping itu, rujuklah pandangan YAB Tuan Guru Mursyidul Am yang saya lihat cukup tepat dan padat sebagai pemangkin kepada tindakan kita mengenai isu ini.

mahathirismail

*****************************************************

MENGULAS KENYATAAN PAKAR PERLEMBAGAAN, DR. ABDUL AZIZ BARI

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh : 20 April 2011 M / 17 Jamadil Awal 1432 H

No comments: