Tuesday, May 27, 2008

Tiada Lagi Islam Hadhari di Selangor


Alhamdulillah..
Itulah yang terdetik di hati ini apabila menonton siaran berita di TV tempatan malam tadi yang menyiarkan berita mengenai seorang exco kerajaan negeri Selangor mengumukan pengharaman apa-apa program yang berkaitan Islam Hadhari di negeri tersebut.
Insya'allah dengan pengumuman tersebut maka rakyat Selangor khususnya tidak lagi keliru dengan istilah Islam Hadhari yang seakan-akan perkara baru dalam agama yang diwujudkan untuk meyempurnakan agama Islam yang diamalkan semenjak zaman Rasulullah lagi.

Kesinambungan Kerajaan Islam Kelantan


Tuan Guru telah berangkat ke Tanah Suci dengan meninggalkan sementara bumi barakah Serambi Mekah bagi menumpukan sepenuhnya pengabdian kepada Ilahi.
Dalam masa yang sama ia menggambarkan bagaimana situasi masa depan pemerintahan negeri yang tercinta ini andainya Tuan Guru tidak lagi berada di tampuknya.
Sebagai salah seorang pendokong perjuangan serta pimpinan ulama ini, aku amatlah berharap negeriku ini akan sentiasa ditadbir selamanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan ikhlas kerana Allah. Pemimpin yang istiqamah menyeru dirinya serta rakyatnya agar sentiasa ingatkan Allah, menjauhi serta menentang kemungkaran habis-habisan.
Amin.

Datuk Husam Memangku Jawatan MB Kelantan

harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 26 Mei (Hrkh) Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa kini menjalankan tugas-tugas sebagai Menteri Besar selepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercuti kerana menunaikan ibadat umrah.

Pada awalnya jawatan itu dipangku Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, namun pada pagi Sabtu lalu beliau dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian akibat serangan jantung.

Ekoran itu, jawatan Menteri Besar dipangku pula oleh Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat.

Difahamkan anggota Exco terbabit telah mengadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda.

Perkara itu disahkan seorang lagi anggota Exco, Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika ditemui semasa menghantar Menteri Besar bagi menunaikan umrah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebentar tadi.

Lebih 1,000 pemimpin kerajaan negeri, PAS dan rakyat turut berada di lapangan terbang petang tadi. Turut kelihatan anggota Exco, Wan Ubaidah Omar, Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Tuan Guru Nik Abdul tiba di lapangan tersebut pada jam 7.10 petang dan sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Turut bersama menunaikan ibadat umrah, isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan dua anak perempuan mereka.

Rombongan Menteri Besar dijangka berlepas ke Jeddah pada kira-kira jam 12 malam ini. Mereka dijadualkan pulang pada 9 Jun depan.