Thursday, July 24, 2008

Tok Guru: Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah


harakahdaily

Lanjusoh & Salmah Mat Husain Wed Jul 23, 08 8:19:30 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya.
mahathirisma - Melalui pelbagai isu akhir2 ini, aku harap orang2 UMNO banyak la dapat belajar vocab Bahasa Arab seperti muzakarah, muqabalah, mubahalah, syura dsb..

Muzakarah: PAS kekal dengan Pakatan, tidak dengan Umno

siasahdaily

KOTA BHARU, 23 Julai: Pemimpin tertinggi PAS menegaskan tidak pernah berbangkit PAS hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno bahkan akan kekal dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Tujuh daripada 13 anggota anggota Majlis Syura Ulamak Rabu lalu mengambil masa kira-kira sejam lima minit membincangkan kekeliruan berhubung ‘muzakarah’ yang dikatakan telah berlaku antara pemimpin PAS dan Umno baru-baru ini.

Pertemuan tertutup itu dipengerusikan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bermula kira-kira pukul 4.05 minit petang tadi di JKR 10, kediaman rasmi MB Kelantan.

Hadir sama dalam pertemuan itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Harun Din, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Muhammad Daud dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Ketika bertemu dengan media, tiga pemimpin utama PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Dr Harun Din berkata, PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat.

Muzakarah: Keputusan Majlis Syura

Alhamdulillah. Sebagaimana yang diharapkan, pertemuan pimpinan tertinggi dalam Majlis Syura Ulama PAS petang semalam sekurang-kurangnya telah menemui titik pertemuan.

Sejuk hati ini melihatkan Tuan Guru Presiden yang ditemani pimpinan lain termasuklah Al-Fadhil Dr. Haron Din tenang menyampaikan kenyataan medianya di Buletin Utama TV3 malam tadi.

Berikut adalah berita sepenuhnya melalui seorang blogger yang istiqamah mengikut perkembangan ini.




[wm.kl 9:30 pm 23/07/08]


Matlamat Sama Cuma Ubah Nama!


ADA setitik cemas berpusar di lubuk hati sementara menanti apakah keputusan dan hasil pertemuan para Shibul Samaah, ahli Majlis Syura Pas dengan Tokguru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas di Kota Bharu petang tadi.

Resah dan gelisah takut mereka berbalah. Al maklumlah (sekurang-kurangnya) lima lawan seorang. Lima ahli majlis syura dan seorang Tok Guru. Kalau bertumbuk tentu Tok Guru yang rebah!

Mereka tidak berbalah, tetapi berbincang sebenarnya.Sehingga jam 3:00 petang tidak ada apa-apa berita dari Kota Bharu. Apakah mereka semua sudah cedera jiwa dan hati selepas hebat berdebat dan membelek kitab? Menyebabkan keputusan tidak dicapai?

Puas cuba melongkar internet mencari blog orang-orang di KB takut-takut ada yang lapor. Tetapi tidak ada juga. Nak telefon direct kepada individu berkenaan (ahli majlis syura) rasanya tidak profesional, nanti orang kata menggunakan konteks peribadi untuk dapat bahan berita. Tak aci lagu tu.... jadi kena tunggulah.

Jam 6:36 pm baru ada masuk satu SMS yang memaklumkan perkembangan di Kota Bharu. Bunyi SMS itu; "Asm TGNA beri lampu hijau muqabalah dengan Pak Lah, presiden ketuai urusan politik..

"Terpinar juga biji mata sekejap membaca perkataan muqabalah. Apa menatang muqabalah tu? Lepas tanya di pengirim baru tahu, rupa-rupanya maknanya bersemuka. Tak pa lah tidak muzakarah, bersemuka pun jadilah...

Selepas berita TV3 yang kadang boleh dipercayai dan kadang tidak itu menyiarkan kenyataan ringkas (sambil berdiri) Abdul Hadi, barulah kelegaan sebenarnya terdampar di hati.

Lega kerana cadangan baik itu mendapat restui Nik Aziz. Pertemuan membuahkan hasil yang baik seperti didoakan.Maknanya pertemuan dan kerja majlis syura ulama itu menyelesaikan masalah yang bertompok hari ini. Semua pihak diharap dapat menerima apa yang diputuskan itu. Bahawa tidak ada perbicangan untuk bergabung dengan Umno. Tidak ada pengkhianatan dengan PKR, tidak ada soal sesiapa nak jadi menteri, timbalan menteri ataupun pemandu kereta speaker.

Alhamdulilah...Dan sekejap tadi saya menerima satu lagi SMS berhubung hal yang sama. Pelik bunyinya. "He he aku menang...! Siapa yang menang? Saya menumpang rasa menang dengan pengirim berkenaan, aku menang. Bukan aku, tetapi kita orang-orang yang benar dan ikhlas!Menang kerana melihat pemimpin tertinggi PAS duduk sekali dan masih memakai akhlak Rasulullah s.a.w. dalam berbincang dan membuat keputusan parti. Tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz dan semua ahli majlis syura ulama dan mereka yang menerima baik hasil temubincang di Kota Bharu itu.

Setidak-tidaknya kekalutan isu yang timbul kini telah menambahkan perbendaharaan kata yang berbunyi MUQABALAH.