Tuesday, February 10, 2009

Di sebalik perletakan jawatan Exco Kedah

malaysiakini

Arumugam letak jawatan exco dan Adun Bukit Selambau
Abdul Rahim Sabri Feb 9, 09 9:23pm

Selepas beberapa jam melepas jawatan exco kerajaan negeri Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan malam ini bahawa V Arumugam turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau.

Menurutnya, peletakan jawatan Arumugam itu berkuatkuasa serta merta.

Sehubungan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dr Abd Isa Ismail akan memaklumkan kekosongan kerusi tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan dalam masa 60 hari.

Petang tadi, Azizan mengumumkan bahawa Arumugam telah melepaskan jawatan exco kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam ini, Dr Abd Isa berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan Arumugam pada jam 6 petang tadi yang dihantar oleh wakilnya.

Menurutnya, menteri besar telah menyembahkan perkara itu kepada Sultan Kedah tadi.

Menurut Dr Abd Isa beliau akan menghantar surat kepada SPR esok untuk memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau itu.

Dalam sidang akhbar malam ini, menteri besar berkata Arumugam meletakkan jawatan akibat tekanan dari pihak Barisan Nasional.

Katanya, tekanan itu agak berat sehingga mengancam dirinya (Arumugam) dan keluarganya.

Oleh itu, katanya, Arumugam mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan exco kerajaan negeri dan Adun Bukit Selambau.

Keputusan Arumugam hari ini ekoran spekulasi sejak kebelakangan ini bahawa beliau akan menamatkan karier politiknya.Baru-baru ini, beliau mendakwa berdepan dengan ugutan supaya meninggalkan Pakatan Rakyat untuk menyertai BN.

Difahamkan Arumugam tunduk ekoran dakwaan tekanan hebat terhadapnya dan keluarganya supaya melompat menyertai BN.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya.

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

"Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Minggu lalu, desas-desus timbul semula mengenai Arumugam akan meninggalkan PKR, apabila beliau tidak dapat dihubungi. Rakan-rakannya dalam PKR berkata Arumugam sedang bercuti.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sbagai ahli exco kerajaan negeri.

Tawaran habuan RM5 juta

Sementara itu, Bernama melaporkan Azizan berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Februari dan diterima oleh beliau pada 5 petang tadi yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.

"Dukacita saya memaklumkan bahawa beliau (Arumugam) telah meletakkan jawatan sebagai Adun Bukit Selambau dan juga Anggota Exco Kerajaan negeri berkuat kuasa serta merta," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.

Azizan berkata sepucuk surat peletakan jawatan wakil rakyat itu turut diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Dr Abd Isa.

Dr Abd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbudin dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah Ahmad Kassim turut menghadiri sidang media itu.

Azizan berkata Arumugam, menerusi seorang wakilnya, telah menghantar dua pucuk surat iaitu sepucuk mengenai peletakan jawatan Adun yang ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri dan sepucuk lagi kepada beliau untuk memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan iaitu exco kerajaan negeri dan Adun.

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku (Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) dan persembahkan surat peletakan jawatan Arumugam itu," katanya.

Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan Adun itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan pilihanraya kecil kawasan berkenaan diadakan.

Ditanya mengenai sebab peletakan jawatan itu, Azizan berkata antara kandungan surat Arumugam ialah beliau mendakwa tidak lagi tahan dengan ugutan oleh pelbagai pihak, termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

"Saya hormati pendiriannya dan menolak habuan RM5 juta itu dan menurut surat itu, beliau (Arumugam) telah menerima pelbagai ugutan sejak Mac 2008 lagi dan disebabkan tidak lagi tahan dengan ugutan dan demi keselamatan keluarganya, Azizan berkata beliau masih belum dapat menghubungi Arumugam sehingga sekarang dan beliau sedih dengan apa yang berlaku kerana menyifatkan Arumugam sebagai seorang wakil rakyat yang baik.

Mengenai tindakan Arumugam yang meletak jawatan, Azizan berkata: "Ia adalah amalan biasa dalam kalangan ahli politik, ramai orang meletak jawatan dan ia bukanlah sesuatu yang baru."

Mengenai sama ada terdapat kemungkinan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat akan melompat parti menyertai BN, beliau berkata: "Sekarang memang begitu rancak lompat-melompat dan orang 'offer untuk cross over' tetapi kena ingat ada 'traffic light'".

Petisyen salahlaku

Arumugam adalah pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pada pilihanraya umum ke-12 tahun lepas, beliau bertanding atas tiket bebas serta memenangi kerusi DUN Bukit Selambau setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Beliau muncul sebagai calon bebas di saat-saat akhir hari penamaan calon setelah borang pencalonan wakil PKR Saiful Izham Ramli ditolak oleh SPR atas masalah teknikal.

Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Baru-baru ini sekumpulan lelaki yang mendakwa mewakili 500 penduduk Taman Ria di Sungai Petani menghantar petisyen mengenai salah laku seorang anggota Exco kerajaan negeri kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mereka mendakwa anggota exco berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak.

Arumugam gagal dihubungi dan enggan menjawab sebarang panggilan telefon, termasuk daripada Menteri Besar dan wartawan manakala rumahnya di Sungai Petani telah kosong sejak dua hari lepas.

Al-Fatihah buat Hj Roslan Shaharum

HarakahDaily.Net

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia
Azamin Amin Mon Feb 09, 09 1:09:54 pm MYT

BATU GAJAH ,9 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.
"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.
"Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan," kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.
Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain.

Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.

Sunday, February 8, 2009

Kemelut Politik Perak: Suara Dr Haron Din

HarakahDaily.Net

Isu Perak: Haron Din jawab Mufti Perak

Salmah Mat Husain Sun Feb 08, 09 7:43:01 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 8 Feb (Hrkh) - Golongan alim ulama di Negara ini harus bersikap adil di samping memihak hanya kepada Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu apa lagi mengeluarkan kenyataan berbaur politik

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, menyifatkan kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengundang kekeliruan di kalangan masyarakat, kerana golongan ulama merupakan rujukan utama masyarakat dalam masaalah agama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan mufti berkenaan yang didakwa sedemikian sebagai merujuk tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar, yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Harussani baru-baru ini mendakwa, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah ataupun Raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Dakwah Halaqat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, di Putik, di sini semalam.

"Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.

"Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu,"ujarnya lagi.

Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak.

"Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah.

Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing.

"Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"ujarnya lagi.