Wednesday, February 18, 2009

Kritis: Mufti vs Ulama PAS

HarakahDaily.Net

Mufti sekadar dicerca, sedangkan ulama PAS dihumban ISA
Wartawan Kita Wed Feb 18, 09 2:20:49 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Kalau sebelum ini Dato' Seri Harussani Zakaria dihormati kerana ketegasan mempertahankan agama Islam, namun campurtangannya dalam krisis politik di Perak menyebabkan wibawanya mulai dipertikaikan.

Baru-baru ini Mufti Perak menyarankan masyarakat menghormati keputusan yang dibuat Sultan Perak berhubung krisis politik yang berlaku sekarang.

Ekoran itu timbul kencaman dalam blog kerana mufti disifatkan seperti menjadi alat kepada pihak tertentu.

Begitu juga di Kelantan pelbagai pihak mulai mempertikai tindak tanduk mufti terbabit yang disifatkan mereka seperti diperalatkan oleh pemimpin politik.

"Sepatutnya dalam keadaan krisis yang berlaku mufti menasihatkan supaya kembali kepada Islam bagi merungkai segala permasalahan bukannya cuba berpihak kepada orang tertentu.

"Namun apa yang berlaku mufti tidak duduk di tengah-tengah sebaliknya condong kepada penguasa yang boleh menjamin kedudukannya yang lebih selesa sebagai mufti," kata seorang pemimpin NGO di sini.

Menurutnya dalam isu yang berlaku di Perak baru-baru ini terdapat kesamaran dalam mentafsir undang-undang mengenai cara Menteri Besar hendak ditamatkan perkhidmatannya.

Dan katanya apabila berlaku kesamaran seperti itu mufti tidak sepatutnya membiarkan dirinya diperalatkan sehingga menyiarkan gambar dalam televisyen ditemui Dato' Dr Zambry Abdul Kadir yang baru diperkenan Sultan.

"Sedangkan kita sebagai orang berilmu perlu melihat lebih jauh, sahkah sebuah kerajaan dengan menculik wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk.

"Inilah moral sebenar yang sepatutnya diberi perhatian. Kalau seorang ulama yang disegani mengenepikan soal itu amat malang sekali bagi rakyat Perak," ujarnya.

Hari ini media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Hussein meluahkan rasa kecewa apabila Mufti Perak menjadi bahan cercaan dan makian penyokong pembangkang di laman-laman web.

Mengulas isu tersebut seorang pemimpin masyarakat di sini berkata, apa yang berlaku terhadap Mufti Perak dipertikai orang ramai jauh lebih ringan berbanding apa dialami pemimpin PAS sehingga ramai ditahan di bawah ISA.

Katanya, ramai pemimpin PAS bukan sekadar dicerca kerana menegakkan ketuanan Islam sebaliknya dihumban kerajaan BN ke dalam ISA bertahun-tahun.

Antaranya Pak Nik Lah, Tok Guru Haji Yakub Berangan, Haji Omar Kubang Bemban, Haji Harun Repek, Haji Omar Tanah Merah dan ramai lagi.

"Tekanan yang dialami pemimpin PAS jauh lebih hebat berbanding dengan apa yang berlaku terhadap Mufti Perak sekarang.

"Cuma apa yang membezakan mufti dipertikaikan rakyat dan ulama PAS menjadi mangsa kerakusan kerajaan BN," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Malah katanya, seorang wakil rakyat PAS yang kental memperjuangkan Islam, Samad Gul mati dibunuh.

Dan ketika gelombang penahanan ulama di bawah ISA, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul dengan menyertai pilihan raya pada 1967.

Difahamkan juga orang ramai tidak senang dengan kelibat tokoh agama itu sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Perak.

Tuesday, February 17, 2009

Ulangtahun kelahiranku

Hari ini genaplah 32 tahun kehidupanku di bumi Allah. Dengan limpah kurnia-Nya, aku masih lagi diberi peluang untuk menjalani hidup dengan maksud mengimbangi semula dosa-dosa lampau yang disedari atau sebaliknya.

Aku berdoa moga-moga kehidupanku selepas ini tidak lagi menggandakan amalan yang membawa kepada kemurkaan-Nya.

Terima kasih lantaran ucapan dan ingatan dari kenalan terutamanya bonda tersayang (orang pertama yang menyampaikan ucapan malam tadi).

MAHATHIR BIN ISMAIL
02:30 pagi, 17hb Februari 1977,
Balai Polis Binjai,
Kota Bharu.

Monday, February 16, 2009

Tok Guru cadang Pak Lah dikekalkan

HarakahDaily.Net

Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13 - Nik Aziz

Mohd Nor Yahya Mon Feb 16, 09 12:06:48 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 16 Feb (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas perhimpunan agung Umno Mac depan bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Ini kerana PAS melihat Dato' Seri Najib Razak sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

"Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

"Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi," katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.

"Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

"Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang," katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu, sebaliknya perlu terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

"Kalau Dato' Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur. Saya tak faham politik Umno sekarang," ujar beliau.

Katanya tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai Umno.

Ditanya mengenai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengah-lengahkan tarikh pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehingga mengambil tempoh 58 hari dianggap sebagai satu permainan politik.

"Saya tahu SPR boleh bertindak atas kuasa mereka tetapi apa yang berlaku sekarang tarikh penamaan calon dan pilihan raya ada kaitan dengan perhimpunan agung Umno Mac depan," katanya.