Wednesday, March 4, 2009

Perubatan Islam: Histeria

HarakahDaily.Net

Tips elak Histeria: Haron Din saran amal Muawizat

Azamin Amin Wed Feb 25, 09 12:58:34 pm MYT

Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.

"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.

'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain

Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."

Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.

Jangan tinggal solat

"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.

Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.

"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,katanya - azm

(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya- wallahualam)

Kemelut di Perak: Status keputusan mahkamah

malaysiakini

Majlis peguam persoal keputusan mahkamah

Mar 3, 09 7:17pm

Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan keputusan melarang peguam persendirian mewakili Speaker DUN Perak V Sivakumar seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Presidennya S Ambiga berkata keputusan mewajibkan penasihat undang-undang negeri mewakili Sivakumar, boleh mencemarkan prosiding yang membabitkan pertelingkahan antara BN dan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian susulan permohonan peguam Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri, berhubung penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN.

Ambiga berkata, dua perkara haruslah diambil kira dalam isu ini. Pertama, setiap peguam bertindak mengikut arahan anak guamnya dan dalam kes ini, tambah Ambiga, Sivakumar tidak pernah meminta penasihat undang-undang negeri berbuat demikian.

Kedua, penasihat undang-undang sendiri berada dalam kedudukan konflik kerana beliau mewakili Dr Zambry dalam kes menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan wakil rakyat BN itu.

"Bagaimana mungkin beliau (penasihat) atau jabatannya boleh bertindak bagi pihak Speaker yang dicabar oleh Dr Zambry?" kata Ambiga dalam satu kenyataan.

"Wajar diingatkan, keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan. Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan."

Ambiga juga menyifatkan Speaker tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengadakan sidang tergempar DUN di luar bangunan rasminya setelah dihalang oleh polis. Kesahan tindakan polis ini membangkitkan persoalan yang serius, tambahnya.

Apatah lagi, tegasnya, tindakan polis itu bersandarkan arahan setiausaha DUN yang hanya seorang pegawai pentadbiran yang tidak mempunyai kuasa untuk menafsir sama ada sesuatu persidangan dewan itu sah atau sebaliknya.

"Polis dengan itu telah bertindak secara tidak wajar apabila mencanggahi kehendak Speaker dan DUN. Kesilapan ini diburukkan lagi oleh keputusan Mahkamah Tinggi," kata Ambiga.

Kemelut politik Perak: Status sidang tergempar

HarakahDaily.Net

Sidang DUN Perak: "Jika di atas pokok pun ia sah"

Abdul Aziz Mustafa Wed Mar 04, 09 3:29:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam tetap sah walaupun diadakan atas pokok, kata pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.

"Jika di atas pokok pun ia sah", Bernama memetik pandangan beliau ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi semalam.

Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kira-kira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohammad Agus, yang juga seorang penganalisis poltik berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.

Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.

Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.

"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.
"Bagaimanapun, Speaker dan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.

"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.

Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.

Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.

"Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau.