Friday, May 15, 2009

Tok Guru: Doakan agar tuanku segera sembuh

harakahdaily.net

MB minta rakyat doakan Sultan cepat sembuh

Mohd Nor Yahya Thu May 14, 09 9:40:01 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat negeri ini mendoakan semoga Sultan Kelantan cepat sembuh.

Petang tadi beliau bersama beberapa anggota Exco menziarahi baginda di wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Baginda dimasukkan ke HUSM pada kira-kira jam 3 petang dipercayai terjatuh dan serangan lelah.

"Tuanku berada dalam keadaan stabil dan saya mendoakan semoga baginda cepat sembuh. Rakyat juga dminta mendoakan kesejahteraan tuanku," katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Sultan Kelantan tengahari tadi sepatutnya menghadiri satu program anjuran kerajaan di negeri di Balai Islam Lundang, namun baginda diwakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. - mj _

Muktamar ke-55: Perdebatan bakal disiarkan secara langsung

malaysiakini

Perdebatan PAS disiar langsung

May 14, 09 5:18pm

PAS hari ini melancarkan laman web rasmi muktamarnya ke-55 bagi menyiarkan ucapan dasar presiden dan perbahasan perwakilan dengan telus, termasuk untuk rujukan masyarakat antarabangsa.

Laman web itu - di alamat http://muktamar55.pas.org.my/ - telah memuatkan 31 bahan berita dan lima rakaman video sejak beberapa minggu lepas.

Muktamar utama dari 5 hingga 7 Jun ini berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Sementara tiga dewan utamanya bermesyurat sehari lebih awal di beberapa lokasi, demikian menurut aturcara yang dimuatkan di laman web tersebut.
.
Persidangan Dewan Ulama ke-48 diadakan di Muzium Shah Alam, Dewan Muslimat (ke-49 di Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Dewan Pemuda (ke-50 di Markaz Tarbiyah PAS, Gombak)Laman web khas itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar pagi tadi di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Menurut media rasmi PAS Harakahdaily.net, Kamarudin berkata bahan-bahan yang akan dimutkan antaranya siaran langsung selama empat hari persidangan - bermula dengan muktamar tiga dewan hingga muktamar penuh.

"Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlangsung sejak beberapa minggu ini," beliau dipetik berkata.

"Saya mengharapkan dengan adanya laman ini, semua maklumat mengenai muktamar dapat kita sampaikan kepada seluruh rakyat.

"Kita bukan macam Umno yang ada televisyen dan media tetapi menyekat maklumat termasuk maklumat perbahasan sidang mereka kepada umum."

Kamarudin berpesan kepada semua perwakilan agar berbahas dengan penuh etika dan beradab, di samping membentangkan isi ucapan dan usul secara matang dan penuh tertib.

DYMM Sultan Kelantan dikejarkan ke hospital

malaysiakini

Sultan terjatuh, dikejarkan ke HUSM

May 14, 09 7:19pm

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat Kota Bharu hari ini kerana dipercayai serangan lelah.

Baginda yang berumur 59 tahun dimasukkan ke hospital kira-kira jam 3 petang selepas dilaporkan terjatuh, lapor Bernama.Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menziarahi baginda di wad diraja jam 4 petang dengan ditemani beberapa exco negeri.

Ketika ditemui pemberita di HUSM selepas itu, Nik Abdul Aziz berkata, baginda berada dalam keadaan stabil.

"Saya minta rakyat Kelantan mendoakan kesihatan baginda semoga baginda cepat sembuh," beliau dipetik berkata.

Sehingga kini istana Kelantan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai punca sakit baginda.

Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM, Dr Rosdi Abdul Rahman berkata keadaan sultan kembali stabil tetapi enggan mendedahkan punca penyakit baginda.