Monday, May 25, 2009

Manek Urai: Pertembungan pemimpin tempatan Umno

malaysiakini

Orang kuat Umno berebut Manek Urai

May 25, 09 1:04pm

Empat pemimpin Umno bahagian Kuala Krai berminat mencabar PAS pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai susulan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, Jumaat lalu.

Ketua bahagian Datuk Ramzi Abdul Rahman, naib ketua bahagian Che Jalal Muda, ketua Wanita, Rohani Abdul Majid dan ketua Pemuda Tuan Aziz Tuan Mat semuanya disebut-sebut menawarkan diri bagi menggalas cabaran BN di kerusi kubu PAS tersebut, kata sumber-sumber Umno bahagian.

Ismail menguasai Manek Urai selama lima penggal berturut-turut sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Pada 2004 sewaktu allahyarham tidak bertanding, calon BN Zulkepli Omar menang di situ dengan majoriti tipis 53 undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, Ismail merampas kembali kerusi tersebut dengan majoriti 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis ini dan dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi kerusi tersebut.

Manek Urai: Jentera PAS kawasan telah bermula

harakahdaily.net

PAS Kuala Krai mulai gerakkan jentera pilihan raya

Mohd Nor Yahya Sun May 24, 09 9:21:25 pm MYT

KUALA KRAI, 24 Mei (Hrkh) - PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.

"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.

"Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.

Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan.

Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.

"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut. - mj _

Friday, May 22, 2009

Tok Guru kenang jasa Pok Su Wil

harakahdaily.net

Kematian Ismail kehilangan besar pada kerajaan negeri,PAS

Wartawan Kita Foto Rizal Tahir Fri May 22, 09 5:15:40 pm MYT

KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai,Haji Ismail Yaacob,60, sebagai kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan PAS.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata Ismail, yang meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu di sini kira-kira 5.50 pagi tadi sebagai antara wakil rakyat PAS yang paling lama berkhidmat di Kelantan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud berkata Ismail menunjukkan prestasi yang sangat baik sebagai seorang wakil rakyat.

Petang tadi, ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham Ismail di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat.

Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.

Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.

Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.

Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.- mks._