Wednesday, July 1, 2009

Profil Abe Uji cuba dipertikai oleh Umno

sinar harian
Edisi Kelantan - 1hb Julai 2009

Penduduk Manek Urai tak perlu calon berpendidikan tinggi: Pas

KOTA BAHARU - Pas mendakwa penduduk di Manik Urai yang akan memilih Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) baru mereka pada pilihan raya kecil 14 Julai ini, tidak memerlukan wakil rakyat yang berpendidikan tinggi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fattah Harun berkata, tidak seperti anggota Parlimen yang mempunyai tanggungjawab di peringkat persekutuan, tugas Adun hanya terhad di kawasan yang diwakilinya sahaja.

“Wakil rakyat tidak semestinya berpendidikan tinggi. Lainlah sekiranya dia adalah wakil kerajaan Persekutuan (anggota Parlimen).

“Pengundi Manik Urai boleh terima dan tidak mengira isu pendidikan. Wakil rakyat nak jumpa (wakil) kerajaan tidak semestinya ada pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Pas meletakkan pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang juga Bendahari Pas Bahagian Kuala Krai sebagai calon mereka, manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Tuan Aziz Tuan Mat, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil itu.

Pengumuman calon Pas dibuat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 26 Jun lalu sementara pengumuman calon BN dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 28 Jun lalu.

Ketika ditanya kenapa Mohd Fauzi setakat ini belum dapat ditemu bual pemberita, Abdul Fattah berkata calon itu kini begitu sibuk bertemu dengan rakyat.

"Masa tidak mengizinkan lagi untuk (pemberita) menemu bual calon kita. PAS Kelantan akan memperuntukkan satu masa yang sesuai untuk membolehkan pemberita mengadakan temu bual dengan beliau dalam tempoh secepat mungkin," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dari PAS pada 22 Mei lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 6 Julai.

- BERNAMA

Tuesday, June 30, 2009

Komen tentang peranan wartawan dalam memburukkan Tok Guru


Salah satu komen yang aku ambik dari blog The Scribe Of A Kadir Jasin yang bertajuk "Dulu dituduh kafir, sekarang dikata Ayah Pin". Walaupun isi kandung tulisan Dato' Kadir ini agak keras terhadap Tok Guru, namun satu komen dari seorang pengunjung ini agak menarik untuk difikirkan.


Roti Planta said...

Dato', setiap manusia ada kesilapan terutama ahli politik kadang-kadang terlepas cakap termasuk TGNA.

Namun yang saya tidak suka ialah wartawan yang dok hulur microfon tu kadang-kadang suka buat provokasi, hanya tunggu nak catat apa-apa yang outrageous terkeluar daripada mulut ahli politik pembangkang.

Mereka akan pulang dengan kecewa (tiada berita) andaikata TGNA bercakap pasal dakwah, nasihat, pentadbiran Kelantan dan apa-apa yang baik-baik.

Namun kalau TGNA silap cakap.. wow! macam dapat bonus setahun gaji.

Berlainan pula jika pemimpin kerajaan bercakap. Malah kadang-kadang Menteri bercakap macam budak tidak sekolah tetapi sering diperbaiki supaya nampak menyakinkan dan cerdik. Maklumlah wartawan pun nak cari makan! Dato', malah dah terbukti ramai wartawan pengampu dan cari makan ini menjadi MP, ADUN, dilantik untuk mengetuai GLC dan sebagainya

Bye/Roti Planta

Monday, June 29, 2009

Manek Urai: Abe Uji bakal diuji

harakahdaily.net


Abang Uji jadi perhatian masyarakat Manek Urai

Mohd Nor Yahya Sun Jun 28, 09 7:30:56 pm MYT

KUALA KRAI, 28 Jun (Hrkh) - Selepas diumumkan sebagai calon PAS di Dun Manek Urai kelmarin, Mohd Fauzi Abdullah terus menjadi perhatian masyarakat. Masanya menjadi semakin sendat sekarang.

Beliau dan isteri, Aminah Mahmood terpaksa berkejar ke sana ke mari siang dan malam bagi memenuhi jemputan penduduk.

Dan hari ini beliau semakin sibuk. Tengahari tadi menghadiri satu program di Laloh, dan sebelah petang pula bersama masyarakat di Peria.

Sedangkan Umno hanya petang ini mengumumkan pegawai Kesedar, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon BN bagi menentang Mohd Fauzi yang lebih dikenali sebagai Abang Uji pada 14 Julai ini.

Petang semalam Abang Uji hadir pada program dianjurkan Pasti. Beliau berkesempatan berjumpa dengan ibu bapa pelajar bertempat di Pasti Kampung Manek Urai baru.

Pada majlis itu beliau berpesan kepada ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak sejak dari kecil lagi memandangkan banyak cabaran yang berlaku sekarang.


"Walau pun anak kita masih kecil seharusnya dijaga sebaik mungkin agar tidak terikut-ikut kerenah remaja masa kini yang semakin tidak terkawal.

"Saya amat memahami masalah dihadapi remaja sekarang. Saya juga akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mendekati mereka bersama menangani masalah sosial," ujar beliau.
Beliau juga menjelaskan kerajaan Kelantan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat antaranya mewujudkan skim Takaful Kifaalah bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Selain itu, skim Takaful Armalah untuk ibu tunggal dan sumbangan pendidikan kepada anak-anak yang cemerlang.

Beliau juga yakin penduduk di Manek Urai sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku termasuk di tempat-tempat lain.

Menurutnya, rakyat di seluruh negara masih mempertahankan perjuangan Pakatan Rakyat berdasarkan kepada lima pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Manakala Aminah berkata, beliau sentiasa menyokong perjuangan suaminya bagi merapatkan lagi hubungan dengan penduduk di Manek Urai.

"Saya sangat gembira kerana dapat bergaul mesra dengan penduduk di sini, malah ramai yang saya sudah kenali. Rupa-rupanya ramai anak rakan saya pun belajar di sini," ujar beliau.

Oleh itu beliau berharap penduduk di Manek Urai memberi kerjasama kepada suaminya bagi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham Haji Ismail Yaacob.

Sementara itu Setiausaha Kerja Pasti Kelantan, Mokhtar Ismail berkata, kedatangan calon PAS Dun Manek Urai ke majlis tersebut dapat memberi peluang ibu bapa mengenali lebih rapat Abang Uji.

Selain itu katanya, hari terbuka Pasti di Manek Urai Baru diadakan bagi memberi peluang kepada ibu bapa beramah mesra sesama mereka memandangkan pada hari lain sibuk mencari rezeki.

Program tersebut diisi dengan pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah motivasi keluarga, kuiz dan mewarna. - mj _