Monday, January 11, 2010

Kickdefella dan kapak terbang: PAS Kelantan bersuara

harakahdaily.net

PAS Kelantan kecam tindakan ancam blogger

M Faqih

KOTA BHARU, 11 Jan: PAS Kelantan memandang serius tindakan pihak yang cuba mengancam penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dengan melemparkan kapak di rumahnya malam tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan mahu menjadi hakim sendiri dengan menjatuhkan hukuman terhadap orang lain bertentangan dengan prinsip Islam.

Katanya, biar pun tulisan blogger terbabit tidak disukai, namun melakukan tindakan kekerasan terhadapnya amat menyalahi agama dan amalan demokrasi.

“Kalau kita tidak bersetuju dengan tindakan seseorang ada saluran dibenarkan undang-undang boleh dilakukan. Bawalah ke mahkamah untuk diadili.

“Saya juga percaya insiden seperti itu tidak dilakukan ahli atau penyokong PAS kerana mereka mempunyai kefahaman tentang agama,” katanya di sini.

Kickdafella dalam blognya mendedahkan rumahnya di Kampung Demit dekat Kubang Kerian dilemparkan kapak kira-kira 11 malam tadi sehingga menyebabkan keretanya rosak.

Menurutnya kapak berukuran hampir 30 sentimeter itu terkena cermin belakang kereta dan terpelanting lebih dua meter.

Blogger terbabit sebelum ini mencetus kontroversi apabila mendedahkan dakwaan salah laku membabitkan pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, tindakan melemparkan kapak sehingga merosakkan harta benda orang tidak sepatutnya berlaku dalam ketamadunan sekarang.

“Kita hendaklah bertindak lebih rasional dan bukannya menggunakan emosi sehingga boleh mengaibkan kita sendiri akhirnya,” kata beliau.

Kunjungan Tok Guru ke Gereja disambut

harakahdaily.net

Pegawai Gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz

Ismail Hashim

PETALING JAYA, 10 Jan: Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.

PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama Samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan NGO yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.
Beberapa NGO pro Umno pula semacam mengambil sikap mengapi-apikan orang Islam dalam isu ini.

Tuesday, January 5, 2010

Allah: Beberapa tokoh agama mempersoal kenyataan Dr Haron Din

malaysiakini

Kenyataan Dr Haron Din dipertikai

Jimadie Shah Othman
Jan 5, 103:04pm

Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka? "Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.

Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity).