Thursday, August 7, 2008

Muqabalah: Coretan Nik Abduh


dah nak masuk tabligh dah...

3hb Ogos 2008

Salam Kamunting,

Seorang sahabat mengeluh, ” Ana dah nak masuk tabligh dah. Pening dah dengan politik. Keliru.

Dulu, segar juga dengar dan ulas pasal politik. Tapi, makin lama, apatah dengan isu muqabalah yang panas ni, makin ana rasa politik ni memang kotor. Politik tu memang la bersih, tapi orangnya kotor, susah nak cari yang bersih.

Dalam PAS pun ana rasa ada yang macam UMNO perangainya. Mujurlah ana tak jadi politician macam anta. Anta nampak kuat tak apalah, tapi bukan ana. Huh, kawan - kawan ana pun dah macam ana. Pening. Dah nak masuk Tabligh dah.”

Begitu saya dengar keluhannya melalui telefon bimbit. Dia seorang profesional. Kawan saya ni bagus. Dia bukan jentera parti, tapi penyokong kuat PAS. Kuat sangat sampai tak percaya pada selain PAS. Dia tak percaya PKR apatah UMNO.

Tapi, akhirnya dia macam dah kecewa pada politik.

Saya menyampuk bebelannya yang sekadar meluah rasa kecewa itu, “Isu ni, orang ikhlas pun terperangkap.”

Cepat - cepat dia balas, “Hah, kalau orang ikhlas pun terperangkap, jelaslah politik ni memang kotor. Daripada terperangkap, baik ana masuk Tabligh.”

Saya tambah lagi selepas jawaban pertama saya gagal difahaminya, ” Sebelum anta keluar 40 hari, anta dah pun terperangkap.”

Dia bingkas bertanya, ” Perangkap apa?” Saya jawab, “Perangkap iblis.” Dia terkedu. Saya tambah lagi, ” Dan perangkap UMNO.”

“Pulak? Kenapa pulak?” Saya agak mukanya berkerut. Kalau dia pakai hands free tengah memandu, mesti orang kata drebar ni tengah sasau.

Saya dengan rasa puas menjawab, “Iblis gembira orang yang ikhlas jadi putus asa. UMNO pula suka orang cerdik tak main politik.”

Senyap seketika. Saya perasan dia angguk - angguk geleng - geleng. “He he. anta nih..” Dia mengaku kalah pesennya.

Isu muqabalah memang menyusahkan. Ia tak diundang berlaku dalam PAS yang tengah mengecapi manis kemenangan dan kepercayaan rakyat.

Saya pun kecewa. Saya melihat sesuatu yang tidak mengembirakan dalam parti. Saya sememangnya keliru juga macam kawan saya itu. Tapi, saya kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan ( unsur buruk dalam parti ).

Saya mahu terus berjuang untuk digelar sebagai pejuang oleh Tuhan.

Kes Liwat: Dr Osman tetap dengan laporannya

malaysiakini
Aug 7, 08 12:50pm
.
Dalam akuan bersumpahnya yang bertarikh pada 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dr Mohamed Osman yang memeriksa Saiful beberapa jam sebelum dia (Saiful) membuat laporan polis, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Saiful membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur, sebelum membuat laporan polis, mendakwa dia diliwat oleh ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Pusrawi, Saiful diperiksa oleh Dr Mohamed Osman. Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada pihak media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.

Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara sebut.

Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Saiful.

Kes Liwat: Anwar mengaku tidak bersalah

malaysiakini

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri Aug 7, 08 12:15pm

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.
.
Pihak pendakwa tidak membantah Anwar dibenar ikat jamin dan mencadangkan ketua umum PKR itu dikenakan jaminan RM20,000 dan menyerahkan pasportnya.

Hakim SM Komathy kemudiannya membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin. Hakim menambah, Anwar juga tidak perlu menyerahkan pasportnya kerana yakin mantan timbalan perdana menteri itu tidak akan melarikan diri.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 10 September depan di Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Anwar dihadapkan ke mahkamah hari ini ekoran laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful pada 28 Jun. Kertas pertuduhan itu berbunyi:

Bahawa kamu, pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari bin Azlan dengan memasukkan zakar kamu ke dalam duburnya; dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, kamu hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebatan.

Beliau keluar dari mahkamah jam 11.10 pagi dengan disambut kira-kira 1,000 penyokongnya yang berada di beberapa tempat, termasuk di perkarangan kompleks mahkamah dan di luar pintu utama. Anwar tiba di kompleks mahkamah itu pada jam 9.38 pagi tadi untuk menghadapi tuduhan liwat.

Mantan timbalan perdana menteri itu kemudiannya menaiki lif mahkamah pada jam 9.52 pagi dipercayai untuk di bilik mahkamah. Sebelum ini, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng membaca kenyataan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat berhubung kes terhadap Anwar.

Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang menyifatkannya sebagai satu kezaliman politik terhadap Anwar. Hadir sama ialah naib presiden PAS Datuk Husam Musa. Pada waktu itu kira-kira 100 orang penyokong Anwar turut hadir memberi sokongan.

Anwar diwakili oleh sepasukan tujuh orang peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Peguam lain termasuklah Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon dan Leela J Jesuthasan.

Terdapat juga peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam dan badan hak asasi manusia yang berpejabat di Washington, Paris dan Bangkok.

Sementera itu, polis mengadakan sekatan jalanraya di jalan-jalan utama masuk ke bandaraya. Keadaan itu menyebab kesesakan lalulintas yang teruk menuju ke bandaraya.