Monday, February 23, 2009

SPRM alat BN?

HarakahDaily.Net

Umno peralat SPRM jatuhkan Pakatan Rakyat

Saidah Hairan Sun Feb 22, 09 7:45:57 pm MYT

KAJANG, 22 Feb (Hrkh) - SPRM di bawah Ketua Pesuruhjaya, Dato' Ahmad Said Hamdan perlu menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, jika SPRM dapat menjalankan siasatan secara telus tanpa memihak pada mana-mana parti politik PAS akan sokong walaupun perkara itu kena kepada pimpinan parti.

Bagaimanapun, katanya, daripada penyiasatan yang dijalankan oleh SPRM seolah-olah institusi itu menjadi alat Umno-BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah naungan Khalid Ibrahim.

Sebelum ini kata beliau, kerajaan Pakatan Rakyat telah membuat aduan tentang penyelewengan wang Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) tetapi tidak ada siasatan segera.

Beliau mempersoalkan mengapa jika perkara yang melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat SPRM boleh membuat penyiasatan dengan segera.

"SPRM seolah-olah tidak ada tindak balas dalam soal aduan berhubung penyelewengan wang Balkis," tegasnya ketika ditemui di program Himpunan Muslimat PAS Kawasan Ulu Langat.

Tambah beliau, begitu juga dengan aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Sehingga kini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan," tegas beliau.

Beliau menegaskan, SPRM perlu menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan adil supaya institusi itu akan dihormati oleh seluruh rakyat.

Friday, February 20, 2009

Hala tuju Ibrahim Ali

malaysiakini

PAS minta Ibrahim Ali letak jawatan
Feb 20, 09 3:47pm

PAS yang tidak senang dengan kelantangan Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat menyifatkan anggota parlimen Pasir Mas itu "tidak mengenang budi" dan menggesanya meletakkan jawatan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu, Ibrahim tidak sepatutnya sering menghentam PAS "seolah-olah beliau sahaja yang betul", lapor Bernama.

"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," beliau dipetik berkata semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Takiyuddin, yang juga exco Kerajaan Tempatan, Pelancongandan Kebudayaan Kelantan, berkata ahli parlimen bebas itu meminta untuk bertanding pada pilihanraya umum Mac tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasannya pernah menolak cadangan itu.

"Tok Guru (Nik Abdul Aziz) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya, seperti dilaporkan.

Mengenai kemungkinan Ibrahim menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS," katanya.

Wednesday, February 18, 2009

Tokoh: Aminuddin Baki

HarakahDaily.Net

Aminuddin Baki: Tokoh pendidik dan pemikir PAS
Mohd Fadli Ghani Mon Feb 16, 09 11:24:40 am MYT

SALAH satu nama yang diisytiharkan sebagai ahli PAS oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kalangan tokoh-tokoh pemikir bangsa Melayu selain Prof Tan Sri Ahmad Ibahim dan Prof Dr Ungku Omar Ahmad ialah Aminuddin Baki yang digelar sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia".

Walaupun beliau lebih terkenal kerana sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan di negara ini, Aminuddin Baki ialah seorang ahli PAS pada akhir 1956 iaitu setelah pemimpin pujaannya, Dr Burhanuddin al-Helmy memimpin PAS. Dalam PAS, nama beliau tidak pernah menonjol kerana lebih selesa dengan strategi Dr Burhanuddin untuk meletakkan figur-figur PAS memegang jawatan utama kerajaan.

Aminuddin Baki selepas menyertai PAS, terlibat dalam penggubalan dasar pelajaran seperti Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Beliau telah memainkan peranan besar dalam memberikan kedudukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan juga peranan bahasa Melayu dalam pendidikan.

Kepada PAS sumbangan beliau disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen seperti Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli Mohamed, Hassan Adli dan lain-lain. Berdasarkan maklumat-maklumat beliau, wakil rakyat PAS dapat terlibat aktif dalam memperkatakan isu-isu pendidikan orang Melayu di Dewan Rakyat.

Aminuddin Baki juga sentiasa menyalurkan pemikiran-pemikiran beliau kepada PAS tentang politik negara sehingga wakil rakyat PAS dilihat berkualiti dalam memperkata isu semasa.

Aminuddin bin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di Chemor, Perak. Pada 1932, beliau memasuki Sekolah Melayu Chemor selama lima tahun sebelum menyambung pengajian di Sekolah Anderson, Ipoh antara 1936 hingga 1941.

Apabila perang meletus pada 1942, pelajaran beliau terganggu. Sepanjang pemerintahan Jepun, Aminuddin Baki telah berkhidmat sebagai jurubahasa di Mahkamah Ipoh kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Selepas perang berakhir, pada 1947 beliau telah melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura sehingga mendapat Diploma Sastera.

Pada 1949, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya, Singapura untuk mengikuti kursus Sarjana Muda Sastera (BA) dalam bidang sejarah. Beliau berjaya mendapat ijazah kepujian pada 1951. Pada 1952, Aminuddin memenangi Queen Scholarship untuk membolehkannya menyambung pengajian peringkat sarjana di University of London dalam bidang Pedagogi Pendidikan dan lulus pada Julai 1953.

Latar belakang kehidupan beliau sebagai intelek muda Melayu pada zaman transisi ini telah membuka kecenderungan Aminuddin untuk membangunkan pendidikan bangsanya.

Penglibatan beliau yang pertama di bidang pendidikan ialah sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu di Singapura antara 1949 hingga 1951.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah sebelum bertugas di alma maternya, Sekolah Anderson pada 1952 tetapi hanya beberapa bulan sahaja kerana berhijrah ke London pada Julai 1952.

Setelah mendapat ijazah MA pada pertengahan 1953, beliau terus dilantik sebagai pensyarah di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim. Ketika di Tanjung Malim ini beliau telah memperkenalkan subjek Sejarah Islam kepada para pelajar walaupun subjek ini tiada dalam sukatan.

Pada 1955, Aminuddin Baki telah dipilih menganggotai Jawatankuasa Razak dalam mengkaji dasar pendidikan yang menghasilkan Laporan Razak. Laporan ini telah mencadangkan supaya SAR diberikan bantuan oleh kerajaan selain mewajibkan bahasa Melayu diajar di semua sekolah untuk tujuan integrasi nasional.

Ketika Jawatankuasa Rahman Talib dibentuk pada 1960, Aminuddin Baki dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat. Kerana kecemerlangan beliau, pada 1962, Aminuddin Baki telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran Selangor dan pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia iaitu satu jawatan yang setaraf dengan Ketua Pengarah Pelajaran hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut berkhidmat sebagai anggota Senat Universiti Malaya dan memberi sumbangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara usaha penting Aminuddin Baki sebagai Ketua Penasihat Pelajaran adalah mengasaskan peperiksaan awam Malaysia bagi menggantikan peperiksaan Cambridge yang beraliran penjajah. Selain menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 1963 untuk mengendalikan peperiksaan awam, beliau juga telah memperkenalkan Sijil Rendah Pelajaran (LCE), Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) dan Sijil Tinggi Pelajaran (HSC) bagi menggantikan Junior Cambridge dan Senior Cambridge.

Selain itu juga, Aminuddin Baki turut terlibat aktif dalam aktiviti budaya dan bahasa Melayu termasuk pernah dipilih mewakili Tanah Melayu atas nama Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 1956 ke Persidangan Persuratan Melayu di Medan. Tetapi kerana halangan tertentu beliau digantikan oleh timbalannya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif.

Dalam bidang kemasyarakatan, Aminuddin Baki juga sangat terkenal kerana aktif dalam gerakan pelajar. Kerana tertarik dengan penubuhan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur pada 1945, beliau telah menyertainya.

Pada 1946, ia bertukar menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang bersifat nasional dengan Aminuddin Baki sebagai setiausahanya.

Pada April 1946, Aminuddin Baki memubuhkan pula Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) yang berpusat di Perak. Apabila berhijrah ke Singapura pada 1947, beliau menyertai Persatuan Pelajar Islam Raffles College dan Medical College. Penubuhan Umno yang menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah memberi idea kepada beliau untuk mewujudkan gabungan 11 buah badan pelajar Melayu dan menubuhkan GPMS pada Ogos 1948.


Aminuddin Baki merupakan Yang Dipertua-Pengasas GPMS. Beliau juga terlibat dalam Persatuan ar-Rahman dan Persatuan Sejarah Tanah Melayu.

Walaupun perjuangan Umno begitu popular ketika itu, sebagai pemimpin terpelajar, Aminuddin Baki lebih cenderung kepada perjuangan politik antipenjajah Dr Burhanuddin yang membawanya menjadi penyokong PKMM dan menganggotai API bersama Ustaz Baharuddin Latif, Ustaz Othman Hamzah dan lain-lain.

Apabila Dr Burhanuddin menyertai PAS, Aminuddin Baki memilih untuk menjadi ahli PAS tetapi tidak aktif di barisan hadapan, sebaliknya menjadi pemikir PAS di belakang tabir.

Walau bagaimanapun, usia perjuangan Aminuddin Baki tidak panjang kepada pada 25 Disember 1965, beliau mengalami serangan jantung yang membawanya menemui Ilahi selepas solat ketika baru berusia 39 tahun.

Kerana jasanya yang besar, banyak institusi pendidikan di negara ini mengabadikan namanya termasuk Institut Aminuddin Baki, Kolej Aminuddin Baki di UKM dan UPSI, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Yayasan Aminuddin Baki, Aminuddin Baki Center for Global Studies UPSI dan lain-lain.- tajdid _