Wednesday, May 6, 2009

Kepimpinan Ulama: Pandangan Tok Guru

harakahdaily.net

Gandingan ulama, profesional terajui gerakan Islam - Nik Aziz

Lanjusoh Tue May 05, 09 6:51:26 pm MYT

KOTA BHARU, 5 Mei (Hrkh) - Tidak sepatutnya berlaku pengasingan di antara ulama dan profesional memandangkan dua kelompok tersebut menerajui gerakan Islam di mana sahaja sekarang.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya penjajah barat sahaja yang sengaja mengasingkan kelompok-kelompok tertentu seperti memisahkan antara agama dan politik.

"Sampai kita terbawa-bawa dengan isu tersebut. Bukan sekadar berlaku di Malaysia tetapi di negara Arab juga. Negara Arab dijajah Perancis. Penjajah mengasingkan agama dan politik.

"Mereka sebarkan kefahaman itu di sekolah sehingga ke universiti. Sedangkan agama dan politik adalah perkara yang satu tidak boleh diasing-asingkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Oleh itu beliau berkata, golongan ulama dan profesional merupakan orang yang sama dalam menerajui gerakan Islam dewasa ini.

"Sepatutnya tidak berlaku kekecohan seperti sekarang kerana kita sudah lama wujud gabungan antara ulama dan profesional yang mempunyai asas agama.

"Kita sudah lama gabungkan di antara ulama dan profesional. Saya tidak faham kerana apa pula timbul cerita ini," ujarnya.

Ditanya takrifan ulama hanya mereka yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama katanya, itu merupakan fahaman lama ketika agama Islam baru masuk ke Tanah Melayu.

(Ikuti penjelasan sepenuhnya dalam Harakah edisi cetak keluaran terdekat ini)

Tuesday, May 5, 2009

DUN Penanti: Pesan Tok Guru

malaysiakini

PAS, jangan kacau PKR di Penanti

May 4, 09 12:17pm

Mursyidul am PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihanraya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya.

BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini.

Monday, May 4, 2009

Tok Guru kembali ke tanahair

harakahdaily.net

MB kembali bertugas Rabu ini

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Sun May 03, 09 6:15:51 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 3 Mei (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mulai bertugas semula Rabu ini selepas kembali daripada menunaikan ibadat umrah kira-kira jam 4.10 petang tadi.

Beliau bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak serta anak bongsu Nik Asma' Salsabila menunaikan ibadat umrah sejak 20 April lalu. Turut mengiringinya Setiausaha Sulit Khasnya, Rusdi Abdullah.

Kepulangannya disambut Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, dan Abdul Fattah Mahmood.

Turut kelihatan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Menteri Besar kelihatan sihat dan ceria sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu kenamaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sambil tersenyum dan bersalaman dengan orang ramai. Sesekali beliau turut melambaikan tangan.

Bagaimanapun tiada persidangan media diadakan memandangkan beliau masih kepenatan.
Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa syukur di atas kepulangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa dinanti rakyat Kelantan.

"Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah, Tuan Guru begitu sihat dan ceria," ujarnya.