Thursday, May 14, 2009

Laman web Muktamar PAS Ke-55

harakahdaily.net

PAS lancar gerbang maklumat sempena Muktamar PAS ke-55
Wan Nordin Wan Yaacob Foto Wan Zahari Wan Salleh Thu May 14, 09 2:44:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Muktamar PAS kali ke-55 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Jun ini bakal dimeriahkan lagi dengan portal maklumat laman web Muktamar di http://muktamar55.pas.org.my/.

Laman web khas sempena muktamar ini telah dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pagi tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Semasa melancarkan portal itu, Kamarudin menyatakan gerbang muktamar yang dilancarkan itu berobjektifkan saluran maklumat kepada seluruh rakyat termasuk untuk masyarakat antarabangsa yang kini sudah mengenali dan kagum dengan PAS sebagai parti politik yang berjaya di negara ini.

Bahan-bahan yang akan mengisi gerbang maklumat itu antaranya siaran langsung terus menerus sidang muktamar bermula dengan muktamar dewan hinggalah muktamar penuh, katanya.

"Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlansung sejak beberapa minggu ini," katanya.

Laman web ini ujar Kamarudin diselia oleh Jabatan IT PAS Pusat dan telah pun beroperasi sejak beberapa minggu lalu.


"Saya mengharapkan dengan adanya laman ini, semua maklumat mengenai muktamar dapat kita sampaikan kepada seluruh rakyat.

"Kita bukan macam Umno yang ada televisyen dan media tetapi menyekat maklumat termasuk maklumat perbahasan sidang mereka kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua perwakilan akan berbahas dengan penuh etika dan beradab seperti muktamar-muktamar yang lalu di samping mempersembahkan isi kandungan ucapan dan usul secara matang dan penuh tertib seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kakitangan Unit IT yang terlibat secara langsung dan para penaja yang menjayakan operasi pengendalian laman web ini. - azm _

Wednesday, May 13, 2009

Intipati amanat Tok Guru mengenai 13 Mei

harakahdaily.net

13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional

Lanjusoh Wed May 13, 09 1:30:18 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Tanggal 13 Mei 1969, sejarah hitam negara tercatat. Ramai penduduk menjadi mangsa rusuhan antara kaum. Ia masih diingati sehingga ke hari ini.

Mungkinkah peristiwa seumpama itu berulang kembali, seperti yang pernah berlaku di Kampung Medan beberapa tahun lalu.

Ekoran peristiwa itulah kerajaan mengubal Dasar Ekonomi Baru (1970 - 1990). Dan paling menarik apabila PAS dipelawa Tun Abdul Razak Hussien berada dalam kerajaan Barisan Nasional pada 1974.

Mengingatkan peristiwa itu buat julungkali kerajaan PAS di Kelantan mencetus deklarasi perpaduan nasional dan keamanan sejagat 13 Mei 2009 pada satu sidang akhbar yang agak luar biasa hari ini.

Sidang akhbar itu dihadiri hampir kesemua anggota Exco kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, sebahagian wakil rakyat, penjawat awam dan pemimpin PAS yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara ini.

"Maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

"Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahu pun dalam negeri sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan.

"Saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidaktentuan dan serba salah. Mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi," katanya.

Menurutnya apa yang ada dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara kini hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana berkecamuk.

Kata beliau sekarang banyak berlaku ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang amanah, namun telah mengkhianatinya.

"Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan

"Maka hari ini 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu," katanya.

Oleh itu beliau mengajak rakyat di negara ini kembali kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T sebagai premis kebahagiaan yang pertama.

Dan keduanya rakyat negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat. - mj _

Tuesday, May 12, 2009

Kemelut di Perak: Reaksi PAS terhadap keputusan mahkamah Rayuan


harakahdaily.net

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan
Irwan Muhammad Zain Tue May 12, 09 3:04:17 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi menegaskan, PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Mahfuz menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan di bawah pemerintahan BN.

"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun.

"Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka," tegas Mahfuz.

Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali tegas Mahfuz sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.

"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan," tegas beliau.

Justeru, PAS tegas Mahfuz mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengah hari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan Kerajaan Pusat. - mns_