Friday, June 12, 2009

Kerajaan Perpaduan: Lagi komen Tok Guru dan Mustafa Ali

www.sinarharian.com

Arahan tutup tu kerana apa? Dalam Islam tidak ada masalah tutup mulut – TGNA

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, marah dan mempertikaikan tindakan pihak tertentu dalam Pas yang meminta pemimpin parti itu dan Pakatan Rakyat supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kerajaan perpaduan bagi mengelakkan berlakunya percanggahan pendapat.

Nik Aziz berkata, langkah itu tidak perlu kerana percanggahan pendapat itu bukannya datang dari Pas tetapi diwujudkan oleh orang-orang tertentu dalam Pas.

“Arahan tutup tu kerana apa? Tutup kerana apa? Soal dia? Percanggahan pendapat itu bukan datang dari Pas (parti), tetapi datang dari orang tertentu dalam Pas. Dia sudah berasa bahaya, maka dia minta tutup mulut.

“Dalam Islam tidak ada masalah tutup mulut. Dalam demokrasi tidak ada tutup mulut. Nabi Muhamad SAW tidak pernah tutup mulut orang. Tidak boleh, kerana semua soalan ada jawapan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas meraikan rombongan guru Kelas Fardu Ain dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, semalam.

Beliau turut mempersoalkan siapa yang mewujudkan dan menimbulkan kecelaruan dalam Pas.

“Yang menimbulkan kecelaruan itu siapa dia, orang Pas atau orang perpaduan? Orang yang menimbulkan kecelaruan itu sedar perkara itu bukan dari Pas sebaliknya daripada orang tertentu di dalam Pas yang menjadi boneka UMNO. Itu jelas pada saya.

“Benda tutup mulut ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Kenapa sekarang baru berlaku? Ini soalan, tidak pernah berlaku pemimpin Pas mengarahkan orangnya supaya tutup mulut. Sekarang ini baru timbul kerana apa? Kerana dia sendiri mengeluarkan perkara yang mencelarukan.

“Itu logik. Kenapa wujud arahan dari orang tertentu dari pusat supaya tutup mulut, kenapa? Sedangkan demokrasi suruh buka mulut. Dalam Islam hanya satu benda yang tidak boleh iaitu Zat Allah. Saya memang marah. Marah ini Islam suruh, Islam minta manusia ini benci pada kerja-kerja derhaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali yang meminta supaya isu berkenaan tidak diperkatakan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan salah tafsir pihak tertentu termasuk dalam kalangan pemimpin PR sendiri.

Mustafa dalam kenyataannya dilaporkan meminta seluruh pimpinan Pas dan PR menghentikan segala kenyataan berkaitan isu yang boleh memberi kekeliruan kepada penyokong Pas berkaitan kerajaan perpaduan.

Mustafa berkata, idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanyalah sekadar teori dan konsep dan idea itu tidak relevan sehingga pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Mengulas mengenai cadangan itu, Nik Abdul Aziz turut membidas golongan dalam parti itu yang mempertahankan cadangan itu dan menyifatkan mereka sebagai ‘boneka UMNO’.

“Saya hanya mempertahankan perjanjian lama Pas yang memberikan sokongan terhadap Pakatan Rakyat seperti keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu.

“Saya sokong Pakatan Rakyat. Kita masuk pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini pun atas dasar Pakatan Rakyat. Saya tidak boleh lari daripada ikrar perjanjian keputusan kita.

“Perjanjian itu adalah keputusan muktamar Pas. Keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat bukannya menyokong untuk mewujudkan kerajaan perpaduan. Tidak ada. Hal perpaduan ini adalah boneka UMNO,” katanya.

Beliau berkata jika ada pihak yang memperkatakan cadangan itu ia sebenarnya ilham UMNO memandangkan perkara itu tidak ada dalam agenda dan tidak dibincangkan di dalam muktamar.

“Tiada dalam ucapan dasar pun. Cadangan itu dibuat selepas daripada sidang. Insya-Allah kita boleh selesai masalah ini. Bagi saya tak perlu langsung buat kajian semula,” katanya.

AMARAN TOK GURU..


Thursday, June 11, 2009

Tok Guru bidas 'boneka' Umno

malaysiakini

'Boneka Umno' suka k'jaan perpaduan

Jun 11, 09 4:02pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas lagi pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Beliau juga dilaporkan tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Mustafa Ali, hari ini dilantik setiausaha agung PAS, supaya semua pemimpin parti itu dan Pakatan Rakyat berhenti membuat kenyataan umum berhubung isu tersebut bagi mengelak kekeliruan.

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno," Nik Aziz dipetik berkata selepas meraikan rombongan guru fardu ain dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di kediaman rasminya di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata jika ada pihak yang memperkatakan mengenai kerajaan perpaduan, lapor agensi berita itu lagi, "ia sebenarnya adalah ilham Umno", lapor Bernama.

Menjawab soalan bahawa isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, menteri besar itu berkata kenyataan itu bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya.

Mengenai saranan Mustafa itu, Nik Aziz berkata tidak ada sebab ahli parti tidak boleh mempersoalkan isu itu.

"Soalnya tutup kerana apa? Percanggahan pendapat itu bukan datang dari PAS, tapi orang tertentu dalam PAS, dia sudah berasa bahaya bagi dia, maka dia minta tutup," katanya.

"Mana boleh tutup mulut manusia."