Tuesday, October 27, 2009

Separuh Akhir Piala Malaysia: Tok Guru akan hadir ke stadium

harakahdaily.net

Nik Aziz tonton aksi Kelantan malam ini

Rizal Tahir Tue Oct 27, 09 10:51:16 am MYT

KOTA BHARU, 27 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dijangka akan menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir pertama antara Kelantan dan Perlis malam ini.

Menteri Besar itu berkata, beliau bersama beberapa orang anggota exco kerajaan negeri disamping Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak 'Red Warrios' itu sebagai menuju ke perlawan akhir merebut Piala Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang Dun Kelantan berakhir petang semalam sebagai menyambut pelawaan dari Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika menggulung perbahasan ucapan Belanjawan 2010 di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang keduabelas semalam.

Menurutnya, Anuar menjemput Menteri Besar termasuk anggota-anggota exco kerajaan negeri disamping Adun mengikuti perlawanan separuh akhir bola sepak itu bagi memberi semangat kepada pasukan supaya dapat beraksi hingga ke peringkat akhir.

Kelantan mara ke peringkat separuh akhir malam esok untuk menentang Perlis bagi merebut Piala Malaysia.

Mereka melangkah ke perlawanan separuh akhir selepas menang bergaya 3-0 ke atas KL Plus.

Dengan keputusan itu Kelantan mara dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 di Cheras, Selasa lalu
"Sekiranya Kelantan berjaya memenangi pertandingan itu, pasukan kita bakal berhadapan dengan Negeri Sembilan atau Terengganu untuk berentap di peringkat akhir,"ujarnya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Anuar Musa kerana telah berjaya menjadikan pasukan berkenaan begitu hebat hingga mampu bersaing di peringkat suku akhir.

Monday, October 26, 2009

Tok Guru, Presiden dan Muktamar Khas PAS


Mutakhir ini rakyat Malaysia khususnya pendokong perjuangan yang berusaha memartabatkan syariah Allah telah dihidangkan dengan herdikan keras daripada Mursyidul Am sendiri.


Ini berikutan masih terasa 'gema' melalui usaha untuk melawan arus persefahaman bersama menentang dasar pemerintahan negara yang ditunjangi parti yang memang jelas tidak boleh dijadikan kawan.


Walaupun aku sendiri tidak merasa sangat kesan 'gema' tersebut (sebagaimana yang dirasai oleh Presiden dan pimpinan Pusat yang lain), tetapi teguran Tok Guru itu cukup membimbangkan kerana aku yakin akan ada kebenarannya.


Namun begitu, diharapkan isu ini dapat dipertimbangkan dengan terperinci dan diselesaikan dengan sebaiknya demi memastikan landasan yang akan dilalui tetap lurus dan menjadi semakin hampir dengan kejayaan.


Monday, September 14, 2009

PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober

malaysiakini

11 Okt pilihan raya Bagan Pinang

Sep 14, 09 12:17pm

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

"Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN meninggal dunia pada 4 September lalu.

Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 18 Sept.

"Para pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN ke 15888 pada tarikh yang sama," katanya.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat carta).

"Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita," katanya.

Menurut Abdul Aziz, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

"Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.

"Pasukan berkenaan akan mula bertugas dari tarikh penamaan calon hingga tamat hari mengundi, dan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa.

"Ia akan turut dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya sambil memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan terkejut jika kita bertindak tegas dan mengenakan tindakan, dan jangan kata SPR berlaku zalim. Kita dah ingatkan banyak kali," katanya.

Di bawah subsesyen berkenaan, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 1 tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan. BERNAMA