Saturday, January 2, 2010

Surat terbuka Husam buat Tun Mahathir

http://cetusan-hati.blogspot.com/

RM270 billion: Kertas Putih MOF

Untuk Tun Dr. Mahathir,
(Surat Terbuka)

Tun,

Amat malang sekali PM telah menolak cadangan Tun supaya sebuah Suruhanjaya Diraja menyiasat pengurusan kewangan Tun dan Pak Lah dibentuk.

Alasan Najib sekadar melepas batuk di tangga. Sapu bawah karpet. Kemudian goyang kaki. Jika Najib seorang PM yang serius melihat pulihnya pengurusan prudent, beliau mesti berbuat sesuatu. Kalau pun enggan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Menteri Kewangan boleh membentangkan Kertas Putih mengenai ke mana wang minyak RM 270 billion telah dibelanjakan. Tun harus menggerakkan cadangan ini. Paling tidak, Parlimen akan mendapat penjelasan melalui Kertas Putih MOF itu. Ia mampu dilakukan oleh Kerajaan dan atas prinsip telus dan berakauntable, tidak ada sebab Najib enggan berbuat demikian.

Tentang penggunaan wang RM 270 billion tersebut, memang ada kebenarannya untuk diragui. Senarai ringkas di bawah sedikit sebanyak boleh memberikan gambaran bagaimana wang itu dibazirkan sesuka hati;

a. Pembatalan kontrak Landasan Berkembar Rawang-Ipoh.

Bayaran ganti rugi kepada DRB-Hicom - RM425mil

b. Pembatalan kontrak Jambatan Kedua Malaysia-Singapura

Bayaran ganti rugi kepada Gerbang Perdana - anggaran awal RM360mil

c. Bayaran ganti rugi kepada operator lebuhraya RM380mil

Compensation to be paid to nine highway concessionaires are as follows

1. Ampang-Ulu Kelang Elevated Highway RM28 million,


2. North South Expressway (Central Link) RM18 million,


3. Seremban-Port Dickson Highway RM178 million,


4. Kulim-Butterworth Highway RM10 million,


5. Malaysia-Singapore Second Link RM6 million,


6. Sprint Highway RM34 million,


7. North Klang Valley Expressway RM9 million, and


8. Penang Bridge RM22 million.

d. RM 500 juta - pembelian bas baru untuk Rapid KL milik Khazanah. 1,000 bas sedia ada terpaksa disadai

e. Kompleks CIQ berharga RM 1 b menjadi gajah putih hasil pembatalan pembinaan Jambatan Kedua. "The result is that more than RM1 billion has been wasted building the Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) complex (left), foundation works for a new railway station, pilings and preliminary works on the road linking the CIQ to the bridge plus compensation to the contractors because of the cancellation of the projects."

f. Kos pembinaan Landasan Berkembar Rawang- Ipoh, mengikut PAC, meningkat RM 1.43 billion dari harga asal. Mengikut laporan lain, ia meningkat dari RM 2.7 pada Julai 2007 kepada RM4.8 billion pada Mei 2008. Peningkatan 77% dalam tempoh 10 bulan!

g. Pembatalan insinerator Broga - dianggarkan di antara RM 500 juta hingga RM 700 juta untuk bayaran pampasan dan berkaitan.

Angka di atas sahaja dah mencecah RM 5.5 billion!

Sebahagian kos ini berlaku kerana sistem runding terus. Sebahagian, untuk menyediakan peluang perniagaan kepada pihak tertentu semata-mata. Sebahagian kerana bayaran ganti rugi semata-mata.

Siapa patut disalahkan, tidak disentuh di sini. Namun, bagaimana wang yang sangat besar boleh diselamatkan jika Kerajaan cekap dan berhemat.

Saya percaya, Tun mampu mempengaruhi Najib membentangkan Kertas Putih itu pada sidang Parlimen akan datang.

Atau, jika Tun ada cadangan lain bagaimana siasatan dan penjelasan terhadap isu ini boleh dilakukan.

Terima kasih.

Husam Musa
(surat ini akan difakskan ke pejabat Tun M pada 31 Disember 2009)

Friday, January 1, 2010

Perutusan tahun baru 2010: Anwar

http://anwaribrahimblog.com/
31hb Disember 2009

Kita menyambut kedatangan tahun 2010 dengan penuh harapan, agar keadaan menjadi lebih baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Tahun yang baru, secara simboliknya, menandakan, satu permulaan kepada yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kelemahan dan keburukan. Sudah tentu semua ini tidak bermakna sekiranya kita hanya berpeluk tubuh dan gagal melakukan sesuatu.

Pendek kata, iltizam untuk melakukan perubahan sahaja tidaklah mencukupi, ianya memerlukan satu tindakan yang jitu berasaskan kefahaman terhadap Perubahan yang ingin dilaksanakan.

Rakyat sesungguhnya bijak serta berkemampuan untuk membezakan di antara intan dan kaca. Mereka sedar yang manakah program perubahan palsu serta satu agenda Perubahan berhasrat untuk membawa kemaslahatan kepada rakyat. Namun sekiranya kita gagal untuk menunaikan hasrat dan cita-cita baik tersebut untuk dikecapi rakyat, ianya akan kekal sebagai satu laungan kosong semata-semata.

Tahun 2009 menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya melahirkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Agenda Bersama Pakatan Rakyat.

Kita menyediakan suatu rencana dasar untuk membawa bangsa dan negara keluar dari kemelut yangmencengkam. Dokumen tersebut merupakan penzahiran kepada satu permuafakatan yang bukan otoritarian sifatnya.

Ianya adalah permuafakatan berasaskan kepercayaan dan benar-benar jujur untuk membawa perubahan. Kita akui sebagai satu permuafakatan yang muda, dalam proses pembentukan kepada satu permuafakatan yang lebih utuh, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai pertanyaan.

Ini adalah lumrah, kerana kita menuju kepada yang lebih baik, kita menawarkan satu yang baru buat rakyat dan kita berhasrat mahu sentiasa bersama mereka memastikan kesejahteraan negara ini terjamin.

Alhamdulillah rakyat menyambut baik kehadiran dokumen bersejarah tersebut. Mereka sedar untuk mengembalikan negara ini ke persada negara-negara yang sudah jauh meninggalkan kita seperti Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan agenda pembangunan yang selama ini berasaskan perkauman sempit dan hanya membawa keuntungan kepada segelintir yang dekat dengan pemerintah mestilah diketepikan.

Kini tibalah waktu untuk kita mendakap satu agenda Perubahan yang terperinci, cermat dan menyegarkan. Pakatan Rakyat menawarkan satu agenda yang seimbang; tidak hanya tertumpu memulihkan kembali ekonomi negara, akan tetapi juga berusaha mengembalikan hala tuju negara ini sebagai satu negara yang berasaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pakatan Rakyat yakin untuk mengemudi negara ini ke taraf negara maju dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat, agenda pembangunan yang adil untuk semua, institusi kehakiman yang bebas dari cengkaman pemerintah dan pembinaan sebuah masyarakat demokratik yang berteraskan kemuliaan insan.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi, kita akan menggembeling seluruh tenaga dan keringat untuk memastikannya terlaksana. Keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people, akan menjadi satu lagi sumber kekuatan kita, rakyat Malaysia.

Moga tahun 2010 merupakan tahun yang lebih baik buat semua dan negara ini.

Inshaallah kita semua berusaha menjayakannya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

ANWAR IBRAHIM

Salam 2010

Salam tahun baru masihi 2010.

Semoga segala harapan dan kekusutan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.

Wasalam.

mahathirismail
Seri Kembangan