Sunday, February 28, 2010

Royalti: Negeri lain juga merasa tempiasnya..

harakahdaily.net

Royalti: Rakyat Sabah, Sarawak juga bimbang

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 28 Feb: Akibat isu tuntutan hasil petroleum oleh kerajaan negeri telah diiklankan oleh kerajaan Pusat sebagaimana yang disiarkan dalam media arus perdana baru-baru ini, rakyat Sabah dan Sarawak telah melahirkan rasa kebimbangan mereka.
Kerana itu, pemimpin kerajaan negeri dijemput untuk menyampaikan taklimat berhubung perkara itu bagi mendapatkan penjelasan, kerana dibimbangi mereka juga hilang hak sebagaimana kerajaan negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada 22 Mac ini, wakil kerajaan negeri dijemput untuk memberi taklimat serta penjelasan berhubung tuntutan itu kepada beberapa buah parti politik di dua buah negeri pengeluar minyak itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini serta mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Baru-baru ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia telah menyiarkan penjelasan isu tuntutan hasil petroleium kerajaan negeri berbentuk iklan dalam beberapa buah media arus perdana.
Antara soalan yang dibangkitkan apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleium 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas, mengapa wang ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta dan berbagai lagi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menjawab kesemua lapan soalan yang dibangkitkan dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah keluaran 26 hingga 28 Febuari lalu juga berkisar pada soalan yang sama.
Husam seterusnya memberitahu, kerana kebimbangan itu rakyat Sabah dan Sarawak telah menghantar surat supaya kerajaan negeri menghantar wakilnya untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan kerajaan negeri hanya akan mengambil keputusan yang bakal diambil berhubung tuntutan itu mengikut keputusan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Ini urusan besar, negeri ada Dewan Undangan Negeri dan sebenarnya kuasa memberi hak kepada petronas adalah Dun dan bukannya kuasa kerajaan negeri.
“Mengikut perlembagaan negara, kuasa ini adalah kuasa Dun sama ada terima pakai akta petroleum atau yang lain-lain. Oleh kerana itu, sekiranya negeri memutuskan sesuatu perkara, ianya lebih kuat,”ujarnya lagi.
Pada masa yang sama beliau turut memberitahu kesemua Adun Barisan Nasional (BN) di negeri itu dijemput hadir pada program itu untuk menyatakan pendirian mereka.
“Kalau dalam mesyuarat Exco kita tidak dapat mendengar pendirian mereka, jadi dalam taklimat ini mereka boleh menyatakan pendirian yang sama selepas penjelasan yang diberikan dalam taklimat itu,”ujarnya.
Tegasnya, bukan sahaja wakil-wakil rakyat dari kerajaan, malah pihak pembangkang juga boleh berbuat demikian.
Sementara itu, semua wakil-wakil rakyat, Anggota Parlimen, Penyelia Dun dan Parlimen telah mengikuti taklimat khas kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Turut hadir dua orang anggota BN, Datuk Norzula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).

Wang Ihsan: Suka hati la..

malaysiakini

Awang Adek ketuai JK agih wang

Feb 26, 10 10:52pm

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ehsan Kelantan, yang berjumlah RM20 juta.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Awang Adek (kiri), yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, dilantik untuk menguruskan agihan wang ehsan berkenaan atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, mesyuarat jawatankuasa untuk pengagihan wang ehsan itu akan berlangsung pada Mac nanti untuk membincangkan kaedah agihan peruntukan itu.
"Kerajaan Pusat sudah bersetuju dengan pelantikan Awang Adek untuk ketuai jawatankuasa ini.
"Agihan wang ehsan RM20 juta itu akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada April nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sumbangan dan sambutan Maulidur Rasul di Kota Bharu hari ini. - Bernama

Friday, January 15, 2010

Apabila terzahirnya ketaatan rakyat jelata terhadap rajanya..

harakahdaily.net

Pemangku Raja terharu sambutan rakyat

Salmah Mat Husain
PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.

Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.

Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.

Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.

Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.


Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.
Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.

Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.

Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.

Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.

Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.

Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.

Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.

“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.

“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.