Friday, March 26, 2010

Tengku Faris kekal pemangku Sultan Kelantan

malaysiakini

YDP Majlis Perajaan Kelantan diganti

Mac 26, 10 3:28pm

Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan hari ini mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua (YDP) MPN yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Setiausaha MPN Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pelantikan Tengku Abdul Halim itu berkuatkuasa semalam selepas pembatalan pelantikan Tengku Abdul Aziz yang juga berkuatkuasa semalam.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan dengan ini saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dibatalkan pelantikan dan dilepaskan menjadi YDP MPN berkuatkuasa 25 Mac 2010 (semalam)," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Shafie Ismail.

Mohd Aiseri berkata pelantikan Tengku Abdul Halim sebagai YDPM MPN yang baru itu juga telah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan. Semalam Tengku Abdul Aziz yang bergelar Tengku Seri Utama Raja telah diumumkan sebagai Pemangku Raja Kelantan selepas apa yang didakwa bahawa Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra telah melucutkan jawatan anakandanya Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di Kota Bharu.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Mohd Aiseri berkata Tengku Muhammad Faris Petra terus kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Mohd Aiseri, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

Tengku Abdul Aziz iaitu abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Sementara itu satu laporan polis terhadap Wan Hashim telah dibuat di Balai Polis Kota Baharu di sini sebaik selesai sidang akhbar berkenaan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie pada pukul 10.20 pagi berikutan tindakan Wan Hashim itu semalam.

Pada pukul 9 malam tadi, polis dilaporkan telah menahan seorang pegawai kanan Istana yang bergelar Datuk di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan itu.

Sumber polis berkata penahanan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua rakyat mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana-mana kumpulan dalam isu itu, tetapi mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kerana kerajaan negeri mempunyai perlembagaan tubuhnya sendiri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, masa kekecohan ini supaya patuh kepada perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut perlembagaan," katanya.

- Bernama

Ahmad Awang masih setia berbakti untuk PAS

harakahdaily.net

Majlis Syura: Ahmad Awang tidak terima maklumat

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Ustaz Ahmad Awang (gambar), bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS pagi tadi berkata, beliau tidak pula diberitahu oleh kepemimpinan PAS bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh majlis itu seperti yang dispekulasikan di dunia maya sejak dua hari yang lalu.

“Ana memang tidak ada menerima apa-apa lagi maklumat itu,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi telahpun memberitahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beliau masih bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut demi memperkukuh parti.

“Ahad lepas, apabila Presiden singgah di Semangol (Perak), saya ada bertanya tentang perlantikan semula Majlis Syura dan beliau (Abdul Hadi) menjelaskan beberapa orang akan dilantik.

“Dari pertanyaan saya itu, Ayah Chik (Abdul Hadi) tentu faham bahawa saya masih bersedia untuk pikul tanggungjawab perkukuh parti walaupun saya tolak pelawaannya untuk saya dilantik semula menjadi Pesuruhjaya PAS (Perak) selepas muktamar lalu (2009),” ujarnya.

Maka, beliau berkata, tidak timbul persoalan bahawa beliau tidak berminat lagi untuk memberi komitmen kepada parti seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Ini kerana, menurut beliau, perbualannya dengan Abdul Hadi jelas mencerminkan beliau bersedia memikul amanah tersebut demi memperkukuh parti.

“Kalau saya tidak berminat untuk menjadi (ahli majlis) syura, perkukuh parti, takkan saya bertanya Ayah Chik (Abdul Hadi) tentang perlantikan semula majlis syura,” ujarnya.

Ditanya tentang kaedah baru dalam perlantikan semula Majlis Syura Ulama, beliau berkata, kaedah tersebut sekadar menurut tatacara Perlembagaan PAS yang baru dipinda.

Katanya lagi, sepatutnya usia menjawat jawatan dalam majlis tersebut sehingga bulan September ini.

Namun, kesemua anggota Majlis Syura, termasuk dirinya bersedia untuk melepaskan jawatan lebih awal demi memudahkan pengurusan pentadbiran parti, tidak lebih dari itu.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, dengan tidak dilantik lagi Pesuruhjaya PAS membolehkan beliau memperkukuhkan parti dengan beberapa aktiviti dakwah yang lain.

Aktiviti dakwah tersebut, menurut beliau, termasuk membina sebuah pusat pendidikan dakwah di peringkat negeri.

“Sebenarnya saya tengah fokus tentang projek membina pusat pendidikan dakwah di sini, nak buat rumah anak yatim, kelas-kelas al-Quran, jadi saya perlu fokus mencari RM6 juta hingga RM7 juta,” ujarnya.

Sunday, February 28, 2010

Royalti: Negeri lain juga merasa tempiasnya..

harakahdaily.net

Royalti: Rakyat Sabah, Sarawak juga bimbang

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 28 Feb: Akibat isu tuntutan hasil petroleum oleh kerajaan negeri telah diiklankan oleh kerajaan Pusat sebagaimana yang disiarkan dalam media arus perdana baru-baru ini, rakyat Sabah dan Sarawak telah melahirkan rasa kebimbangan mereka.
Kerana itu, pemimpin kerajaan negeri dijemput untuk menyampaikan taklimat berhubung perkara itu bagi mendapatkan penjelasan, kerana dibimbangi mereka juga hilang hak sebagaimana kerajaan negeri Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada 22 Mac ini, wakil kerajaan negeri dijemput untuk memberi taklimat serta penjelasan berhubung tuntutan itu kepada beberapa buah parti politik di dua buah negeri pengeluar minyak itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini serta mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Baru-baru ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia telah menyiarkan penjelasan isu tuntutan hasil petroleium kerajaan negeri berbentuk iklan dalam beberapa buah media arus perdana.
Antara soalan yang dibangkitkan apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleium 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas, mengapa wang ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta dan berbagai lagi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menjawab kesemua lapan soalan yang dibangkitkan dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah keluaran 26 hingga 28 Febuari lalu juga berkisar pada soalan yang sama.
Husam seterusnya memberitahu, kerana kebimbangan itu rakyat Sabah dan Sarawak telah menghantar surat supaya kerajaan negeri menghantar wakilnya untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan kerajaan negeri hanya akan mengambil keputusan yang bakal diambil berhubung tuntutan itu mengikut keputusan yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
“Ini urusan besar, negeri ada Dewan Undangan Negeri dan sebenarnya kuasa memberi hak kepada petronas adalah Dun dan bukannya kuasa kerajaan negeri.
“Mengikut perlembagaan negara, kuasa ini adalah kuasa Dun sama ada terima pakai akta petroleum atau yang lain-lain. Oleh kerana itu, sekiranya negeri memutuskan sesuatu perkara, ianya lebih kuat,”ujarnya lagi.
Pada masa yang sama beliau turut memberitahu kesemua Adun Barisan Nasional (BN) di negeri itu dijemput hadir pada program itu untuk menyatakan pendirian mereka.
“Kalau dalam mesyuarat Exco kita tidak dapat mendengar pendirian mereka, jadi dalam taklimat ini mereka boleh menyatakan pendirian yang sama selepas penjelasan yang diberikan dalam taklimat itu,”ujarnya.
Tegasnya, bukan sahaja wakil-wakil rakyat dari kerajaan, malah pihak pembangkang juga boleh berbuat demikian.
Sementara itu, semua wakil-wakil rakyat, Anggota Parlimen, Penyelia Dun dan Parlimen telah mengikuti taklimat khas kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Turut hadir dua orang anggota BN, Datuk Norzula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mat Yusoff Abd Ghani (Nenggiri).