Monday, July 14, 2008

Protes: Komen Terhadap Tindakan Pemuda PAS



Pemuda PAS pengecut, ibarat tin kosong?


Tinta Emas Jul 10, 08 3:55pm


malaysiakini

Perhimpunan aman Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang berlalu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak di seluruh peringkat.

Saya sebagi pemerhati senario politik tanah air, yang juga mengikuti perkembangan segala bentuk usaha pembangkang memperjuangkan hak rakyat, berasa amat kesal apabila terlalu banyak pihak tampil untuk menjadi hero, seolah-olah merekalah yang mengerti "perjuangan Islam".


Protes tidak terlepas daripada pemerhatian saya, dari peringkat awal lagi. Malah saya sangat yakin bahwa kenyataan media dan pelbagai pendirian dan pandangan yang dikemukakan di media mutakhir ini datang daripada manusia yang teramat ego, dan amat malang sekali mereka ini sedikit pun tidak tahu akan perjalanan sebenar Protes kali ini.


Dari peringkat awal lagi, sebenarnya saya amat kesal apabila tiada seorang pun wakil Pemuda PAS yang sanggup turun padang bagi menyertai aktiviti Protes ini. Tahukah kalian bahawa betapa Dr Mohd Hatta Ramli dan beberapa anggota jawatankuasa Protes daripada PAS terlalu mengharapkan kehadiran para pemuda kita.


Namun nyata segalanya hampa. Bagaimanapun, dengan segala daya yang ada, beberapa orang anggota jawatankuasa gabungan ini mempertahankan perjuangan kita masih perlu diteruskan. Saya pernah bertanya di mana Pemuda PAS tatkala mesyuarat Protes dikuasai oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK)?


Saya kesal kerana dalam hal ini, di peringkat awal lagi, Pemuda PAS kelihatan pengecut. Mereka menjadi tin kosong yang begitu hebat berbunyi. Ketidakbijaksanaan Nasruddin Tantawi menguruskan isu ini sekali lagi menyebabkan saya hilang kepercayaan dengan Pemuda PAS.


Apapun, seorang pemimpin sepertinya tidak harus bertindak membincangkan isu yang bersifat dalaman dengan menggunakan media yang menjadi tatapan umum (blog). Sudahlah Pemuda begitu bongkak dengan tidak menghantar wakil ke mesyuarat Protes, pelbagai kenyataan dan "hukuman" pula yang kalian berikan.


Sepatutnya Pemuda PAS yang begitu lantang bersuara perlu berasa malu dengan apa yang terjadi. Saya tahu Pemuda telah menghantar wakilnya di saat-saat akhir, pun begitu kehadiran wakil Pemuda begitu dihargai.


Bukankah pengisian program telah diamanahkan kepada Pemuda PAS sebagai wakil daripada parti? Apabila pengisian tidak seperti yang diputuskan dalam mesyuarat, maka siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Bukankah unit pengisian itu sendiri? Kenapa dalam hal ini Pemuda begitu rakus menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab dan pengecut?


Tahukah kalian bahawa begitu tinggi harapan yang diletakkan oleh Dr Mohd Hatta kepada wakil daripada Pemuda yang duduk dalam unit pengisian ini untuk memastikan program berjalan lancar? Kegagalan kalian ini, tidakkah kalian harus insafi dan bukannya meletakkan kesalahan itu kepada insan yang telah meletakkan harapannya pada kalian? Malah bukan Dr Mohd Hatta sahaja yang meletakkan harapan beliau, beberapa anggota jawatankuasa Protes bukan muslim juga meletakkan harapan mereka. Tetapi kalian tewas kerana ego kalian.


Apakah Pemuda fikirkan bahawa dengan sikap ini mereka mampu menjadi ejen untuk memasyarakatkan PAS? Tahukah kalian, tindakkan kalian "melarikan diri" sewaktu program sedang berjalan adalah tindakan yang diambil atas rasional politik semata tetapi dari aspek dakwah jelas kalian masih mentah. Tidakkah apa yang berlaku di perhimpunan Protes tempoh hari adalah realiti masyarakat kita pada hari ini? Adakah dengan melarikan daripada tanggungjawab terhadap insiden itu kalian telah menyelesaikan tugas dakwah kalian?


Melarikan diri dari mad'u (sasaran dakwah)! Amat memalukan. Lupakah kalian pada sejarah yang dilakar oleh Hassan al-Banna yang melangkah masuk ke disko, lalu menyebutkan satu kalimah sebagai usaha beliau untuk mengingatkan para anak muda yang ada dalam disko tersebut, dan kalimah tersebut hanyalah Allah.


Nah, sekarang persoalkan pada diri kalian, apakah yang telah kalian sampaikan pada anak muda dan masyarakat yang memerlukan sinar dakwah pada insiden itu? Mampukah untuk kalian menjawab? Saya berasa insaf atas apa yang berlaku, dan ini juga menunjukkan kelemahan PAS dalam aspek dakwah. Kita terlalu ghairah mengisi cabang politik sehingga dakwah bil hal kita, pada keadaan yang memerlukan, amat mengecewakan.


Tahukah kalian seorang anggota jawatankuasa Protes yang berbangsa Cina telah memeluk (ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan) Kamarulzaman Mohamad tetapi Kamarulzaman telah menepisnya di khalayak ramai. Di manakah akhlak Islam kita? Kita harus keras dalam mempertahankan hukum kita, tetapi kita harus selembut-lembutnya dalam menyampaikan. Jelas, Pemuda tidak menjelaskan apa-apa kepada mad'u kita pada insiden itu, sebaliknya melarikan diri dengan penuh amarah. Beginikah tarbiyyah PAS? Beberapa masa dahulu ada disebut tentang "ego orang agama" - nah tahniah kepada Pemuda PAS kerana buktikan tuduhan tentang "ego orang agama" tersebut.


Saya tetap tidak bersetuju dengan tindakan Pemuda PAS yang melarikan diri itu walau apa pun alasannya. Kita semua sayangkan Islam, kalau tidak, mengapa kita berada dalam PAS? Ketahuilah bahawa tiada sesiapa yang menerima tarbiyyah daripada PAS yang bersetuju dengan apa yang terjadi. Jangan terlalu berasa hebat sehingga memperlekehkan barisan pimpinan yang ada.


Saya juga kesal dengan PAS Kemaman yang mahukan pemimpin PAS memohon maaf secara terbuka. Sikap semborono menghentam pimpinan tanpa asas dan berdasarkan khabar angin perlu dihentikan. Bersifatlah seperti seorang budiman, bersemuka dan minta jawapan daripada apa yang berlaku, bukan dengan menghentam begitu.


Untuk pengetahuan, Nasharuddin Mat Isa tidak hadir pada malam itu. Justeru, berhati-hatilah menyusun bicara. Mudah untuk kalian berbicara, tetapi bukan kalian yang keluar masuk lokap beberapa kali untuk rakyat, dan bukan kalian yang mengusahakan ikat jamin dan urusan guaman, malah mungkin kalian tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu.


Saya mengharapkan sedikit coretan saya ini dapat menyedarkan kita daripada segala macam kesilapan, dan janganlah kita terus mengulangi segala kesilapan kita.


Buat Pemuda, saya rasa sudah tiba masanya kalian menjadi lebih realistik dan jatuhkan sedikit ego kalian, ayuh mantapkan medan dakwah dan telusuri seni dakwah dan kepimpinan. Bagaimana untuk memimpin negara andai kelompok kecil begini kita sukar menguruskannya? Kepada Dr Mohd Hatta dan jawatankuasa Protes, yakinlah Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Belajarlah daripada apa yang terjadi, dan bijaklah dalam merangka dan menggerakkan program- program yang melibatkan orang-orang luar apatah lagi jika ia melibatkan Angkatan Muda Keadilan.


Apa pun, saya memandang perkara ini dari sudut positif - PAS perlu lebih memperkasakan gerakan dakwahnya, dakwah dan siasah harus seiring. Maafkan saya andai coretan ini menyakitkan hati pelbagai pihak. Ia sekadar perkongsian ikhlas. Wallahu a'lam.

No comments: