Wednesday, August 6, 2008

Harakah Edisi Jumaat, Isnin kembali temui pembaca

harakahdaily

Shirzad Lifeboat Wed Aug 06, 08 12:16:10 pm MYT

Bermula Jumaat, 13 Shaaban 1429 (15 Ogos 2008) akhbar Harakah akan diterbitkan dua kali seminggu iaitu Edisi Jumaat dan Edisi Isnin.

Menerusi kekerapan baru ini Harakah bukan sahaja akan menyajikan berita parti dan juga peristiwa politik muktahir tanah air serta berita-berita luar negara yang turut mempengaruhi dunia Islam dengan lebih kerap, tetapi menawarkan satu alternatif media yang menjiwai siasah Islam dan bercirikan kebenaran tulen.

Harakah lahir pada 1 Mac 1987 di tengah-tengah kemelut kepimpinan yang sedang melanda Umno.

Pemilihan pucuk pimpinan parti tersebut yang diadakan pada 24 April 1987 bukan lagi dilihat oleh umum sebagai ribut dalam secawan teh tetapi sebagai tsunami krisis dalaman yang menyapu bersih tradisi parti sehingga akhirnya Umno yang pertama kali dilahir dan didaftarkan pada awal Mac 1946 menjadi jenazah pertubuhan siasah yang dikebumikan dalam perkuburan politik untuk selama-lamanya.

Dalam suratnya kepada Ustaz Hassan Shukri selaku Setiausaha Agung PAS pada ketika itu, Unit Kawalan Penerbitan Kementerian Dalam Negeri mentakrifkan Harakah sebagai akhbar pertubuhan tetapi membenarkan penyiaran rencana umum selain daripada berita bersangkutan hal-ehwal pertubuhan.

Dengan lahirnya organ rasmi parti, maka PAS buat pertama kalinya memiliki sebuah penerbitan berbentuk akhbar tabloid.

Dalam masa kira-kira setahun sahaja, Harakah menjadi nama household yang meniti dibibir audien yang mengikuti perkembangan politik tanahair, bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli dan penyokong PAS tetapi juga dari kalangan umum.

Bertolak dari hakikat ini Harakah telah memohon kekerapan penerbitan dua kali seminggu pada bulan Mei 1990 dan permohonan tersebut diluluskan sebulan berikutnya, 18 Jun 1990.
Sejak dari itu, Harakah telah menjadi satu kuasa media yang perlu diiktiraf dan dihormati, 'a force to be reckoned with' yang turut sama membentuk pendapat umum politik.

Hal ini menjadi begitu ketara sehingga dirasakan sebagai menghimpit dan menekan Umno dan akhirnya dianggap sebagai antara faktor utama yang turut mengakibatkan Umno menerima keputusan memalukan dalam pilihan raya umum 1999 - gagal menawan kembali Kelantan dan kecundang di Terengganu.

Keputusan ini juga merupakan terburuk dalam sejarah Umno setakat waktu itu.

Tentu sekali Harakah memainkan peranan begitu besar dalam usaha meneutralkan asakan media arus perdana yang seratus peratus diperkudakan oleh Umno-BN dalam kempen pilihan raya berkenaan.

Malah menjelang pilihan raya itu, Umno-BN telah dapat merasakan betapa segala promosi dan iklan-diri yang dilakukan oleh gabungan parti berkenaan dihakis oleh Harakah (Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman mengulis hal ini dengan terperinci dalam rencana berjudul 'Harakah Terus Diburu KDN' yang disiarkan dalam buku cenderamata '20 Tahun HARAKAH 1987-2007').

Hakikat ini telah mendorong Umno-BN menggunakan kuasanya dalam kerajaan bagi membatalkan kekerapan dua kali seminggu menjadi sekali dalam masa dua minggu sahaja.

Bulan Mac 2008, tsunami politik berlaku lagi ekoran keputusan pilihan raya yang diadakan pada bulan Mac itu dan mengakibatkan Umno sekali lagi menghadapi krisis kepimpinan dalaman dan terus dipersoalkan sama ada masih relevan dalam politik negara dan perjuangan siasah orang Melayu.

Di tengah-tengah kemelut yang menimpa Umno-BN inilah kebenaran menerbitkan Harakah dua kali seminggu diperolehi kembali.

No comments: