Tuesday, August 5, 2008

Permatang Pauh: Pendekatan Terbaru BN

Angkuh.. Bongkak.. Sombong.. Terlalu Yakin..

Itulah antara perkataan yang sesuai diberikan bagi menjelaskan pendekatan yang diambil oleh parti kerajaan (Barisan Nasional) setiap kali menghadapi pilihanraya umum atau kecil tanpa mengira di mana kawasan yang dipertandingkan.

Malah, mereka ini terlalu yakin untuk merampas kembali Kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Tok Guru walhal pada masa yang sama angin politik jelas berlawanan dengan apa yang mereka harapkan.

Namun begitu, semenjak Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi jalan buat Dato' Seri Anwar untuk bertanding, maka, tiba-tiba sahaja tahap 'kokok'kan BN lenyap sama sekali.

Bahkan mereka pula menggunakan pendekatan yang amat berhemah, merendah diri serta takut untuk menghadapi realiti sehingga ada di kalangan pemimpin mereka ini meminta agar parti kerajaan tidak bertanding kerana sudah tahu akan implikasinya.

Suasana ini sememangnya amatlah kekok untuk rakyat negara ini merasai termasuklah jentera media kerajaan yang seakan-akan tiada petunjuk untuk mencari bahan berita yang menggambarkan rakyat di kawasan itu masih sayangkan kerajaan.

Begitu dahsyat sekali pukulan Anwar terhadap kerajaan ini!

_____________________________________


Berikut adalah sebahagian daripada tulisan yang berkaitan dengan perkara ini.

Umno tercari-cari calon lawan Anwar

Muda Mohd Noor Aug 5, 08 2:39pm

Bekas ketua Umno Permatang Pauh berkata bahagian itu menghadapi masalah untuk mendapatkan calon sesuai bagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil nanti.

"Umno bahagian ketandusan pemimpin yang boleh menjadi calon untuk menentang Anwar.

"Beberapa nama yang disebut menjadi calon, sebenarnya tidak mencapai standard untuk mencabar bekas timbalan perdana menteri itu," kata Datuk Ahmad Saad.

Beliau yang memimpin bahagian itu antara 1997 hingga 2004 dianggap bekas seorang penyokong kuat Anwar.

Ahmad menambah, ada dua faktor yang menentukan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil kali ini.

Pertama, calon yang boleh diterima oleh semua pengundi Permatang Pauh dan satu lagi, katanya, kecenderungan pengundi Cina dan India yang berjumlah kira-kira 20,000 orang.

"Kita perlu ingat kemenangan lebih 13,000 undi majoriti (presiden PKR Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dalam pilihanraya umum lalu disebabkan pengundi Cina dan India.

"Malah kalau tidak kena calon (BN kali ini), orang Umno akan mengundi pembangkang," katanya lagi.

Ketua bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata calon BN dalam pilihanraya kecil paling dinanti-nantikan itu akan ditentukan oleh pengerusi parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat Umno bahagian malam tadi, tambahnya, diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihanraya tersebut dan bukannya membincangkan isu calon. Mengulas kemungkinan beliau turut disenaraipendekkan sebagai calon menentang tokoh pembangkang itu, Abdul Jalil berkata "saya bersedia menjadi calon.

"Ahmad menegaskan, beliau kini tidak lagi menyokong Anwar kerana penasihat PKR itu bersekongkol dengan DAP.

Katanya, beliau tidak suka pada seseorang pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan bangsa sendiri.

"Oleh kerana itu saya tidak boleh menyokong perjuangan Anwar walaupun sebelum ini merupakan penyokong kuat beliau," katanya.

No comments: