Thursday, September 4, 2008

Berita dari Kuala Krai: 3hb September 2008

Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]


Peralatan baru untuk madrasah, surau

KUALA KRAI – Beberapa buah surau dan madrasah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang menerima sumbangan peralatan pembesar suara dan kipas angin untuk keselesaan jemaah sempena Ramadan kali ini.

Sumbangan tersebut diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas dekat sini, semalam.

Menurut Abdul Latiff, sumbangan yang diberikan adalah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh madrasah tersebut sebelum ini mengenai keperluan yang perlu diganti baru.

“Sekiranya tiada permohonan rasmi yang dibuat, amat sukar untuk kami beri peruntukan yang diperlukan.

“Saya harap dengan adanya kemudahan tambahan ini, penduduk dapat mengimarahkan masjid dan madrasah sempena Ramadan ini sebaik mungkin,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Antara madrasah yang mendapat sumbangan peralatan tersebut ialah madrasah Lebai Daud, Bukit Sireh, madrasah Pasir Jering, Chenulang dan surau Kampung Gilat, Batu Jong.

Manakala, surau Kampung Lembah Sentosa melalui imamnya Mustapha Ibrahim, 80, menerima cek peruntukan bernilai RM10,000 untuk menaik taraf kemudahan di surau tersebut.

Sementara itu, menurut pengerusi madrasah Kampung Pasir Jering, Saidi Jaafar, dia telah membuat permohonan untuk mendapatkan peralatan pembesar suara yang baru memandangkan pembesar suara lama yang rosak.

“Pembesar suara yang lama telah rosak dan menjejaskan keselesaan imam untuk mengendalikan solat berjemaah dan ceramah di madrasah.

“Walaupun jemaah kami tidak seramai di masjid iaitu kira-kira 30 jemaah sekitar tetapi setiap waktu solat madrasah ini tidak pernah kosong dan menjadi tumpuan utama penduduk berdekatan,” ujar Saidi.

Pendapat Saidi turut disokong seorang lagi wakil penerima sumbangan surau Kampung Gilat, Abdul Kadir Yasin.

“Menerusi penerimaan sum-bangan untuk surau dan madrasah ini, penduduk sekitar dapat menunaikan ibadat dengan selesa.

“Sehubungan itu, kami merakamkan penghargaan kepada ADUN Mengkebang di atas sumbangan yang diberikan,” kata Abdul Kadir yang juga Ketua Penerangan Majlis Tindakan DUN Mengkebang.

No comments: