Thursday, September 4, 2008

Tok Guru mahu BN berubah

Sinar Harian
[Muka Depan - 4hb September 2008]


BN perlu ubah :: Nik Aziz

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan Barisan Nasional perlu perubahan menyeluruh bermula dari peringkat dasar hingga ke pemikiran.

Sekiranya perubahan tidak dilakukan sekarang beliau yang juga Menteri Besar itu meramalkan BN yang telah memerintah negara sejak 50 tahun lalu akan tumbang pada bila-bila masa.

Beliau bagaimanapun menegaskan tumbangnya kerajaan BN yang diterajui UMNO tidak ada kena mengena dengan rancangan 16 September yang diuar-uarkan oleh Pakatan Pembangkang.

“Kejatuhan kerajaan BN tidak ada kaitan rancangan 16 September, tetapi disebabkan oleh masalah dalaman yang kini melanda kepimpinan dasar.

“Saya yakin bahawa kerajaan yang ada sekarang ini mesti diubah bermula dari dasar hingga ke pemikiran kerana inilah yang saya perjuangkan selama ini,’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengenai tarikh 16 September itu adalah masalah yang berkaitan dengan teknikal dan bukannya bermaksud kerajaan sekarang akan jatuh pada tarikh tersebut.

Nik Aziz bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan berkaitan dengan tarikh berkenaan yang menguar-uarkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya menubuhkan kerajaan baru.

Anwar yakin pada tarikh itu beliau­ akan berjaya membawa masuk kira-kira 30 orang Ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang pada tarikh tersebut bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

No comments: