Wednesday, October 29, 2008

Ir. Nizar bakal tunai haji tahun ini

sinar harian
Berita Am - 29hb Oktober 2008

MB Perak dapat kelulusan tunai haji

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mendapat kelulusan khas untuk menunaikan haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Senarai rombongan jemaah haji seramai 22 orang yang dipohon Menteri Besar Perak telah diluluskan, katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak (MTPN) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 tetamu termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MTPN berkata, beliau perlu memaklumkan mengenai perkara itu supaya masyarakat mengetahui bahawa perbezaan politik tidak menjadi masalah dalam hal ehwal agama.

“Walaupun berbeza politik tapi demi agama, saya beri kelulusan itu atas pertimbangan bahawa dalam hal ehwal agama kita tidak boleh asingkan berdasarkan kepada parti politik,” katanya.

Beliau berkata, rombongan berkenaan turut disertai isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Fatimah Taat, Setiausaha Politik Menteri Besar, Misbahul Munir Masduki dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Penerbangan pertama membawa jemaah haji ke Tanah Suci akan berlepas Khamis ini.

Ahmad Zahid berkata, bakal haji yang berdaftar dengan Tabung Haji kini lebih 348,000 orang dan mereka yang mendaftar pada tahun ini hanya dijadualkan menunaikan haji pada tahun 2019 mengikut giliran pendaftaran.

No comments: