Edisi Kelantan - 10hb Februari 2009 [Selasa]
Budaya :: Nik Aziz raikan Tahun Baru Cina
GUA MUSANG - Mursidul Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar tetap turun ke jajahan Gua Musang tengah hari semalam biarpun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
Menurutnya, beliau baru sahaja dua hari keluar dari hospital akibat masalah kesihatan.
“Biarpun belum pulih sepenuhnya, tetapi kerana rasa seronok dengan semangat ditunjukkan semua pihak, saya gagahkan diri untuk datang.
“Dalam hidup tidak kira apa kaum pun kita, sebagai manusia ada dua perkara harus dijadikan pegangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahun Baru bersama warga emas kaum Tionghua di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, dekat sini tengah hari semalam.
Beliau berkata, pegangan itu adalah budaya dan adat resam yang mana budaya merupakan tingkah laku diwarisi sejak turun temurun lagi.
Menurutnya, perkara itu terpaksa dijelaskan bagi mengelak kekeliruan sekiranya beliau pergi ke majlis perayaan masyarakat kaum lain.
“Sekiranya tidak diperjelaskan mungkin ada pihak berasa pelik kenapa saya pergi ke majlis perayaan masyarakat tertentu.
“Sekiranya program melibatkan budaya turun temurun saya akan pergi, tetapi jika majlis melibatkan program keagamaan masyarakat lain tidak akan hadir,” katanya.
Beliau berkata, diharapkan dengan penjelasan tersebut, masyarakat kaum lain faham jika dia tidak dapat hadir ke majlis keagamaan mereka.
“Sekiranya majlis seperti hari ini diadakan, saya akan datang kerana ia melibatkan budaya masyarakat Cina,” katanya.
Sementara itu, selepas program tersebut, beliau sempat ke Gua Batu Madu di Batu Papan untuk menikmati keindahan semula jadi gua yang kini menjadi tumpuan masyarakat sebagai destinasi pelancongan.
No comments:
Post a Comment