Penggunaan Nama ALLAH Oleh Gereja: BOLEH ?
3hb Mac 2009
Untuk tidak mudah keruh air dihilir, mari kita cuba simpan ke tepi soal-soal komen orang terlebih dahulu. Mari kita kembali kepada kejernihan yang seasalnya dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Soal sedih dan terlambat itupun barangkali tidak perlulah kita dahulukan justeru inipun juga dikhuatiri boleh menyebabkan "side tracking" yang kurang bermenafaat.
Pada dasarnya, Islam ini milik semua. Allah yang mencipta langit dan bumi dan segala isinya termasuklah segala kehidupan manusia atau non-manusia;benda atau non-benda.
Ini jika boleh kita sama-sama bersetuju sebagai premis pertama.Jika asas ini boleh kita sama-sama persetujui, maka inilah premis asal tempat bertolak yang membolehkan perkataan Allah itu digunakan oleh sesiapa.
Dinding tempat bersandar sikap keluwesan Islam ini insya-Allah, boleh kita sama-sama cermati melalui firman Allah SWT di dalam kitab suci kita al-Quran secara tenang.
Semaklah secara perlahan satu persatu. Lihat surah Al-Mu'minuun Ayat 85,Al-Mukminuun Ayat 87,Al-Mukminuun Ayat 89,Al-ankabuut Ayat 61, Luqman Ayat 25, Az-Zumar Ayat 38,Az-Zukhruf ayat 9 dan Az-Zukhruf Ayat 87.
Pendek kata, "mereka akan menjawab, "kepunyaan Allah". Katakanlah:Maka apakah kamu tidak bertaqwa?"(Surah Al-Mukminuun Ayat 87).
Sungguhpun penggunaan perkataan Allah ini boleh digunakan oleh semua golongan tetapi ia wajib digunakan dengan penuh tanggungjawab. Pisau tidak boleh menikam sebarang benda walaupun halal ianya pada prinsipnya untuk menikam apa jua.
Analog ini boleh dikembangkan sejauh-jauhnya jika perlu berbuat demikian.Pokoknya, walau apapun benda atau perkataan itu, ia tidak boleh disalahgunakan.
Di sinilah letaknya persoalan niat.
Apa niat penggunaan pihak gereja dalam konteks isu seputar penggunaan nama Allah ini?
Tidak mahu dilihat gopoh dan terburu-buru Tok Guru mahu Islam itu dilihat masih terbuka.
Maksudnya, kita masih boleh izinkan JIKA pihak gereja sedia letakkan deklarasi terbuka di muka surat pertama bahagian hadapan dalam setiap naskah yang mahu diterbitkan iaitu(umpamanya):
MAKSUD ALLAH DISINI MERUJUK KEPADA TUHAN YANG MAHA ESA, YANG MENJADIKAN SELURUH ALAM LANGIT DAN BUMI DALAM KERANGKA PENGERTIAN DAN PERSEPAKATAN MAKNA SELURUH AGAMA SAMAWI YANG ASLI.
ALLAH YANG DIRUJUK DI MANA-MANA TEMPAT DALAM TULISAN INI ADALAH SEPERTI YANG DIERTI DALAM SELURUH AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN, YANG TERPANCAR SIFAT-SIFAT KAMALAAT-NYA MELALUI 99 ASMA UL-HUSNA-NYA.
PAKSI DAN TUNJANG YANG MEMANCANG SIFAT ALLAH YANG DIRUJUK DALAM TULISAN INI BERSEMAYAM DIKERAK PENGERTIAN EMPAT AYAT DALAM SURAH AL-IKHLAS YANG BERBUNYI: KATAKANLAH DIALAH TUHAN YANG MAHA ESA.
TEMPAT BERGANTUNG SEGALA SESUATU. DIA TIDAK BERANAK DAN TIDAK DIPERANAKKAN. TIADA SIAPA YANG SETARA DENGAN DIA.
"Di peringkat ini, jangan-jangan kita sudah mampu menjerat seekor harimau yang berpura-pura menjadi kucing itu, untuk menunjukkan taring menjelaskan pendiriannya. Mampukah dia !Ini premisnya.
Jika perlu saya ulangi,maka mana-mana pihak yang mahu menggunakan perkataan Allah perlu di WAJIBKAN untuk mematuhi ketetapan ini.
Ia perlu dicatat dalam bentuk deklarasi bertulis berupa pengakuan.
Kita memulangkan persoalan ke gelanggang pilihan. Terpulang !
Inilah yang agaknya sering disebut oleh ahli-ahli ilmu sebagai barang hikmah yang tertinggal.
Dengan begini,kita tidak "mencederakan" Islam; bahkan mengekalkan pendirian asal Islam itu yang bersifat meraikan. Akan tetapi, di sana tetap adalah syaratnya. Ia bukan sebuah izin mutlak. Ia bersifat muqoiyyat.
Mengelakkan diri dari dituduh gemar membuat pemborongan, pendekatan ini akan dipandang lebih menyerlahkan unsur fatonah yang menjadi ciri yang "intact"; milik para Rasul dan nabi-nabi.
Dengan kenyataan ini, barangkali saya sudah tidak perlu lagi memujuk mereka yang "sangat sedih"..bahkan "sangat-sangat bersedih". Saya sebenarnya lebih suka mencurigai hajat media dari bersifat jengkel sesama sendiri.
"When suspicion is asleep, wake it not".
Ini bukan soal sedih atau terlambat.
Wallahua'lam
- anbakri -
No comments:
Post a Comment