Wednesday, March 4, 2009

Aktivis teater bantah PPSMI

DETIKDAILY

PAS lebih layak ganti Umno - Khalid Salleh

Posted on Wednesday, March 04 @ 03:30:00 MYT

Oleh Irwan Muhammad Zain

SENIMAN dan aktivis teater, Khalid Salleh antara mereka yang hadir di pasaraya Sogo, Kuala Lumpur, 24 Januari lalu ketika Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) melancarkan kempen untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini. Kehadiran beliau menambahkan lagi semangat dan membuktikan PPSMI ditentang oleh semua pihak.

Khalid Salleh yang mesra dipanggil Wak Khalid sudah lama menentang apa saja usaha untuk memperlekehkan bahasa dan bangsa Melayu. Malah beliau secara lantang mengutuk tindakan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein yang masih mahu meneruskan dasar tersebut.

Untuk mendapatkan pandangan seniman ini, wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH menemui beliau di sebuah restoran di Ampang, 5 Februari lalu.

HARAKAH: Ketika GMP mengadakan pelancarannya di Sogo baru-baru ini, Wak juga turut hadir. Penglibatan Wak ini, boleh dikatakan menguatkan lagi GMP di samping kehadiran Sasterawan Negara dan pejuang bahasa yang lain. Boleh Wak ceritakan macam mana boleh terlibat GMP ini?

KHALID SALLEH: Saya melibatkan diri dalam GMP ini bukan semata-mata kerana soal bahasa Melayu tetapi kerana ia melibatkan bangsa Melayu. Melayu sebenarnya sudah hilang. Apabila nama bangsa Melayu itu dihilangkan dalam kad pengenalan, maka secara tidak sedarnya bangsa Melayu sudah dihilangkan.
Siapa punya kerja ini? Bukan setakat itu, nama Tanah Melayu juga dihilangkan, diganti dengan nama Malaysia. Kenapa tak kekalkan saja Tanah Melayu. Kalau sekalipun nak guna Malaysia tetapi jangan hilangkan Tanah Melayu kerana asas kepada nama Malaysia itu Tanah Melayu. Pemimpin Melayu sudah menindakkan wujudnya negara Melayu dan kini cuba menghilangkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Ini yang menyebabkan saya kecewa dan melibatkan diri dalam GMP.

HARAKAH: Apakah Wak mula melibatkan diri dalam perjuangan ini kerana ia mula digerakkan secara aktif atau pun sudah lama Wak perjuangkan?

KHALID SALEH: Benda ini sudah lama sebenarnya. Tapi apabila orang sibuk bercerita tentang Palestin, saya rasa perlu suarakan tentang perkara ini. Kalau Palestin sekurang-kurangnya mereka melawan, mati syahid kita kata kerana mempertahankan negaranya, tapi Melayu macam mana?

Melayu tiba-tiba hilang. Orang Melayu saja gelar mereka Melayu kerana masih berbahasa Melayu. Tapi itu pun kadang-kadang bagi sesetengah orang bahasa Melayu itu pun sudah diperlekehkan.
Cuba tengok PPSMI itulah. Kalau dah menginjak-injak bahasa dan bangsa sendiri maknanya sudah tidak ada apa-apa lagi. Nabi sanggup berperang kerana agama, bangsa dan wilayahnya. Melayu berperang untuk apa? Apa yang diperjuangkan?

HARAKAH: Perkara ini ada kaitan dengan pemimpin Melayu yang kini berkuasa dan diberikan kuasa oleh rakyat khususnya orang Melayu tetapi mereka ini akhirnya secara halus cuba membunuh bangsa dan bahasa Melayu. Adakah ini mengecewakan atau menyedihkan Wak?

KHALID SALEH: Bukan sedih lagi, amat menyedihkan.

Saya marah daripada dulu lagi sebab itu dalam puisi saya 'Tanah Melayu', saya kecam pemimpin Melayu yang mahu hilangkan bangsa sendiri. Lepas baca puisi itu memang anggota polis Cawangan Khas (SB) ikut saya sampai sekarang.

HARAKAH: Apa yang Wak marahkan sebenarnya?

KHALID SALEH: Dari sudut bahasa itu sendiri. Mereka kata bahasa Inggeris itu bahasa ilmu. Mereka ini tahu tak ilmu itu bukan diturunkan melalui bahasa. Itu pendapat saya secara peribadi. Ilmu itu universal. Ayat yang pertama 'Iqra', ayat pertama itu 'Baca', untuk apa baca dan membaca? kerana nak dapatkan ilmu.

Kita ambik satu contoh, al-Quran itu penuh dengan segala ilmu, tapi sejauh mana orang menggali ilmu yang disuruh oleh al-Quran. Bukan yang ada dalam al-Quran tapi yang disuruh oleh al-Quran. Contohnya, dalam al-Quran tidak ilmu macam mana nak buat kapal terbang. Tapi kenapa orang buat kapal terbang?

Dalam al-Quran ada surah yang mengatakan "Tidakkah kamu memerhatikan burung-burung yang berterbangan dengan kedua-dua belah sayapnya." Tapi orang Islam tidak memerhatikan burung, mereka hanya baca Quran saja. Yang memerhatikan burung adalah Wright bersaudara itu. Jadi daripada pemerhatiannya terhadap burung maka mula dia mula cipta kapal terbang.

Jadi yang dapat faedah daripada pembacaan itu siapa? Jadi orang yang membaca tentang burung hingga boleh cipta kapal terbang itu baca dalam bahasa apa? Al-Quran dalam bahasa apa?

HARAKAH: Jadi Wak memang tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Inggeris itu bahasa ilmu dan bahasa Melayu itu tidak layak untuk dijadikan bahasa ilmu?
KHALID SALEH: Ya, salah. Saya tidak setuju sama sekali. Ambik contoh minum, dalam bahasa Inggerisnya 'drink'. Yang bezanya cuma sebutan tetapi perbuatannya sama. Bukan apabila sebut 'drink', minum je air itu meleleh ke bawah. Sama saja dengan minum atau bahasa lain. Perbuatannya sama. Jadi bila orang kata bahasa Inggeris itu bahasa ilmu itu sebab dia meneroka dahulu. Tapi kefahaman itu bukan dengan bahasa Inggeris tapi dengan pengamatan kita.

Contoh lagi, nelayan. Macam mana dia boleh tahu pukul berapa agak-agak akan hujan? Adakah dia baca dengan bahasa Inggeris. Itu ilmu. Hanya orang yang akrab dengan laut boleh baca tentang ini, bila nak hujan, bila ombak akan jadi besar. Dia tahu pokok hujan akan naik bila?

Apabila dia tengok kaki langit dia tahu semua ini. Bila ributnya. Ilmu ini bukan hanya boleh didapati oleh orang laut, orang darat pun boleh dapat ilmu itu kalau dia akrab dengan alam. Kalau dia membaca. Balik kita kepada Iqra. Daripada Iqra itu datanglah ilmu. Bukan baca buku datang ilmu, itu burung kakak tua. Kita kena baca rahsia yang terkandung dalam Quran.

Contohnya ada ayat mengatakan, "Kau letaklah al-Quran di atas bukit nescaya akan hancurlah bukit itu." Pernah letak al-Quran atas bukit? Kalau secara logiknya kita akan kata al-Quran yang akan hancur kerana ia dicetak daripada kertas. Kertas itu asalnya dari daun atau kulit pokok. Itu kitab bukan al-Quran. Tak mungkin Allah berbohong. Itulah rahsia Quran itu tadi yang tidak kita cari. Ilmu itu.

HARAKAH: Apa pendapat Wak tentang Pengajaran atau Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)?

KHALID SALEH: PPSMI itu bohong bagi saya. Tuhan tidak menurunkan ilmu itu melalui satu bahasa dan satu umat saja.

HARAKAH: Jadi pada Wak bahasa Melayu itu boleh dijadikan bahasa ilmu?

KHALID SALEH: Itu salah satu daripada faktornya. Kalau kita tidak meyakini bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu atau boleh jadi bahasa ilmu, habislah. Lama-lama tak payah guna bahasa Melayu lagilah. Dan itu yang terjadi sekarang ini. Bangsa sudah dibunuh tanpa sedar. Dah tak ada sebenarnya.

HARAKAH: Apakah Wak bersetuju dengan pendapat mengatakan usaha meminggirkan bahasa Melayu dan seterusnya membunuh bahasa Melayu ini sama dengan Zionis?

KHALID SALEH: Secara tak langsung mereka ini sama dengan Zionis. Idealogi Zionis ini bukan hanya melalui peperangan fizikal tapi banyak cara untuk mereka masuk dan hancurkan sesuatu bangsa. Salah satu di antaranya melalui hiburan macam Akademi Fantasia (AF) atau Juara Lagu itu. Kita kena tengok siapa di belakang ini. Melalui hiburanlah cara yang paling mudah untuk meresap dalam fikiran dan jiwa anak-anak muda terutamanya. Mereka ini pewaris bangsa.

Mereka ini apabila nampak hiburan, wah ... seronok tapi itulah proses melalaikan. Bayangkan AF itu berapa jam orang Melayu habiskan masa tengok, berapa jam dia fikirkan siapa akan menang. Dia habiskan berjam-jam untuk yang tidak berfaedah berbanding mereka fikirkan apa akan jadi pada agama Islam dan bangsa Melayu. Ini penjajahan secara halus.

Ada orang yang minta supaya buktikan bahasa Melayu pernah jadi lingua franca. Jawapan saya senang saja, buktikan yang nenek moyang mereka orang Melayu atau bangsa apa. Boleh mereka buktikan?

Dalam al-Quran, surah Al-Hujarat ayat 13, Allah sudah kata: "Sesungguhnya Aku yang menciptakan manusia itu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Aku yang menjadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku." Daripada mencipta Dia menjadikan. Apabila sebut soal bahasa atau suku, Tuhan tak kata bangsa ini kat sini, bangsa ini kat situ. Tapi apabila sebut bangsa saja secara tak langsungnya sudah meletakkan sempadan geografinya.

Kenapa di Eropah tidak ada yang muka macam Melayu atau di Tibet. Sebab Tuhan sudah ciptakan, bangsa Eropah itu kat sana, India itu kat sini, Afrika itu kat sana. Jadi wilayah Melayu itu di gugusan pulau-pulau Melayu.

HARAKAH: Selain bahasa, apa lagi yang Wak rasa perlu dipertahankan?

KHALID SALEH: Budaya. Contohnya, kalau di rumah tempat kita tidur kalau mak bapak kita datang, kita suruh mereka tidur dalam bilik yang kita tidur mereka tak nak. Itu merupakan budaya kita.

Selain itu, orang Melayu ini ada adab dia. Kalau orang datang rumah kita layan, kita sediakan makan dan minum. Tapi ini semua sebenarnya juga semakin terhakis kerana kita asyik nak ikut budaya luar. Tak meraikan tetamu. Sedangkan Islam juga mengajar kita menghormati dan meraikan tetamu. Dan tetamu itu juga kena hormat tuan rumah jangan datang rumah orang buat sesuka hati.

HARAKAH: Apakah benda ini, budaya ini masih ada?

KHALID SALEH: Saya rasa ia sudah hilang.

HARAKAH: Benda yang hilang ini adakah disebabkan oleh mereka yang memegang kuasa?

KHALID SALEH: Ya. Mereka ini yang bertanggungjawab. Orang yang pegang kuasa ini harus ingat bahawa mereka bersumpah memegang amanah. Harus ingat amanah itu berasaskan kepada prinsip Nabi. Sunnah Rasul. Sunnah itu ertinya perjalanan atau cara. Sunnah Rasul iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan fatonah.

Kalau ini tidak ada iaitu mendahulukan kaum kerabat, tidak mempertahankan bangsa kau, tidak mendaulatkan bangsa, maknanya tidak amanah. Jadi hancurlah. Samalah dengan Umno. Umno tidak salah tetapi yang salah itu pemimpinnya.

Yang jahanamkan Umno dan orang Melayu itu pemimpinnya. Parti apa sekalipun kalau tidak pertahankan orang Melayu maka hancurlah.

HARAKAH: Adakah Wak bersetuju dengan pendapat mengatakan orang Melayu ini bersifat perkauman?

KHALID SALEH: Tidak. Kalau orang Melayu ini perkauman kuat, kenapa orang Cina buka kedai di kampung orang Melayu boleh kaya raya? Kalau orang Melayu ini perkauman, dia tidak pergi ke kedai Cina. Orang Melayu atau orang Islam ini sebenarnya sifat toleransi mereka paling kuat. Orang Islam dan Melayu ini paling setiakawan.

HARAKAH: Macam mana pula dengan pendapat mengatakan memang wujud masalah perkauman?

KHALID SALEH: Itu politik. Pemimpin nak kekal berkuasa mereka mainkanlah isu ini.

HARAKAH: Apa sebab adanya pemimpin jenis ini?

KHALID SALEH: Mudah. Mereka ini kurang ilmu dan buta sejarah. Ada satu Perhimpunan Agung Umno, Hishammuddin Hussein tarik keris. Itu keris adat. Dalam kolum Wak di Berita Harian, Wak ada tulis, kenapa tarik saja keris itu.

Perhimpunan berikutnya, dia tarik kemudian dia cium. Betullah macam itu, sebab itu keris adat. Tapi MCA bising, kata ini nak gaduh ke apa?

Hishammuddin tak boleh jawab tapi minta maaf dengan MCA. Itu keris adat, kenapa nak minta maaf? Kalau dia ada ilmu dan tahu sejarah, dia boleh jawab. Keris adat itulah bentuknya dan saiznya. Kalau keris untuk bertarung bukan saiz itu, ia pendek. Cara cabut juga sudah boleh difahami. Keris adat kita tarik perlahan dan cium. Kalau keris nak bertarung atau berperang, kita cabut secara cepat dan tak perlu cium.

Kalau Hishammuddin tak boleh jawab memang dia .... Dia minta maaf dengan MCA kenapa? MCA dia bukan Melayu, jadi dia tak faham, kenapa tak terangkan, kenapa nak minta maaf? Ini masalahnya kalau ada pemimpin yang tak ada ilmu. Satu lagi, dia cabut dalam majlis dia, majlis Melayu. Lainlah kalau dia cabut dalam majlis MCA, memang itu nak cari pasal, nak bergaduh. Ini cabut dalam majlis sendiri, orang gertak sikit dah minta maaf.

Pemimpin macam ini nak diharap jaga orang Islam dan Melayu? Inilah contoh pemimpin tak ada asas ilmu dan sejarah. Senang kata pemimpin jenis ini adalah pengecut.

HARAKAH: Jadi maksud Wak pemimpin seperti ini perlu dijatuhkan?

KHALID SALEH: Ya. Sekarang soal bahasa. Kalau bahasa Melayu pun dia tak boleh daulatkan. Apa lagi yang dipertahankan?

HARAKAH: Tapi pemimpin Umno sibuk kata mereka perjuangkan ketuanan Melayu?

KHALID SALEH: Masalahnya, pemimpin Umno itu bercakap tak ada asas. Yang mereka perjuangkan adalah kuasa dan harta benda. Kuasa itu lombong emas bagi mereka ini. Kalau betul mereka perjuangkan untuk Melayu, dia tak hapuskan nama Tanah Melayu. Dah 600 tahun dahulu orang kenal dan tahu Tanah Melayu. Sebelum wujud Malaysia. Dah lama diiktiraf Tanah Melayu ini. Bukan setakat itu, bahasa Melayu juga sudah diakui. Tapi tiba-tiba mereka ini secara terancang nak hapuskan bahas Melayu ini kenapa?

HARAKAH: Maksudnya secara terancang ini pemimpin Melayu ini cuba membunuh bangsa dan bahasa Melayu.

KHALID SALEH: Ya. Dan kalau dihalalkan santau itu sudah lama Wak santau pemimpin Melayu jenis ini. (Ketawa)

HARAKAH: GMP rancang adakan perhimpunan besar-besaran pada 7 Mac nanti. Adakah Wak bersetuju dengan cadangan ini?

KHALID SALEH: Tak kira apa caranya memang sudah sampai masanya untuk kita bertindak. Sebabnya pemimpin tidak boleh diyakini dan tidak boleh diharap lagi.

HARAKAH: Macam mana dengan cadangan jika perhimpunan 7 Mac ini tidak juga dihiraukan, maka protes harus ditunjukkan pada kertas undi iaitu menukar kerajaan yang ada dengan kerajaan baru. Macam mana pendapat Wak?

KHALID SALEH: Itu satu cadangan yang bagus juga kerana itu cara mahu mengajar pemimpin dan parti yang sudah berlaku zalim kepada orang Islam dan Melayu. Tetapi pada saya secara peribadi, kalau pembangkang ini pilihan saya cuma PAS saja. Yang lain saya tak percaya. Kerana parti lain hanyalah serpihan saja.

Kalau PAS itu asasnya kuat. Kita tengok daripada zaman Dr Burhanuddin Helmy lagi, asas PAS itu kuat dan disambung lagi dengan pemimpin PAS yang lain. Itu sebab saya kata berbanding parti pembangkang lain, saya hanya pilih PAS kerana asasnya kukuh. Bukan saya antipembangkang tetapi pada saya hanya PAS punya asas yang kukuh kalau orang Melayu mahu pilih untuk ganti Umno. Ini pandangan peribadi saya, kalau orang lain tak boleh terima saya tak kisah kerana saya yakin dengan apa yang saya cakap.

HARAKAH: Selain cara itu apa lagi yang boleh orang Melayu lakukan?

KHALID SALEH: Orang Melayu perlu ikut cara orang Cina. Mereka ada banyak parti tetapi apabila ada masalah melibatkan kepentingan kaum Cina, mereka akan bersatu. Berbeza dengan orang Melayu, ada masalah yang mengancam kepentingan agama dan bangsa mereka pun masih lagi tak bersatu. Ini yang perlu kita ubah, orang Melayu dalam menjaga kepentingan agama dan bangsa harus ketepikan soal parti. Bukan saya nak menghasut tetapi ini yang kurang dengan bangsa Melayu.

Dan saya perhatikan kalau bab kerjasama ini, ahli PAS adalah contoh terbaik kerana mereka ini biarpun apa selisih faham, tapi apabila sampai masa nak hadapi pilihan raya, contohnya mereka akan bersatu. Berbeza dengan Umno baik pemimpin atau ahli, tak ada wang tak jalanlah kerja. Sebab itu saya kata, untuk orang Melayu hanya PAS layak ganti Umno.

HARAKAH: Untuk perhimpunan 7 Mac ini, apa pesanan Wak kepada semua rakyat?

KHALID SALEH: Saya benar-benar harap agar seluruh orang Melayu sama-sama hadir pada 7 Mac ini untuk menyatakan kesungguhan kita menentang PPSMI ini. Saya dapat tahu, bukan hanya kami seniman dan pejuang bahasa saja yang menentang dasar mengarut ini tetapi ramai ibu bapa yang mahu dasar ini segera dimansuhkan.

Tetapi mereka ini mungkin kerana jaga periuk nasi, maka tak berani nak bersuara. Jadi perhimpunan itu nanti peluang mereka untuk tunjukkan kapada pemimpin yang "baghal", yang masih nak pertahankan PPSMI bantahan mereka. Ini peluang untuk mereka menyelamatkan masa depan anak-anak mereka.Apabila saya kata menyelamatkan anak-anak ini, mereka harus faham, masa depan anak-anak mereka banyak bergantung kepada dasar ini.

Banyak yang mengadu, anak-anak mereka semakin merosot bila belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Jadi kalau mereka tidak berani untuk menyatakan bantahan maca mana dengan masa depan anak-anak mereka. Jadi saya harap perhimpunan GMP pada 7 Mac ini akan mendapat sambutan dan saya menyeru agar semua rakyat hadir bersama untuk menyatakan bantahan mereka. - azm

No comments: