Berita Utama - 13hb Mac 2009
Muhyiddin sokong kerajaan perpaduan
SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi menyokong cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan di negara ini demi mengembalikan keamanan dan tenteram kepada rakyat.
Naib Presiden UMNO itu berkata, cadangan berkenaan pernah diusulkan sebelum pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu tetapi tidak mendapat sebarang sokongan daripada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Ini pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan parti. Cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Pas itu amat penting untuk difikirkan. Malah tidak ada sebarang masalah sekiranya berlaku kerajaan campuran. UMNO bersikap terbuka,” katanya.
Muhyidin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Taklimat Dan Dialog Pakej Rangsangan Ekonomi, di sini semalam.
Hadi sebelum ini dilaporkan mencadangkan agar ditubuhkan kerajaan perpaduan di negara ini ekoran krisis politik dan krisis ekonomi yang bakal mendatang.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti-parti politik di negara ini perlu bersatu untuk agenda yang lebih besar negara iaitu bekerja untuk kepentingan rakyat.
Sementara itu pada majlis yang sama, Muhyiddin berkata, usaha serius perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan segera pakej rangsangan ekonomi kedua.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelaksanaan pakej rangsangan kedua perlu sampai ke peringkat akar umbi bagi memastikan projek-projek terbabit dilaksanakan.
“Sokongan rakyat semua peringkat, terutama perniagaan, perlu bagi menyemarakkan penggunaan domestik dan meningkatkan ekonomi,” katanya.
1 comment:
Tok Guru Nik Aziz tok setuju...kawe pong dok...
Post a Comment